Stoking hitam wajib untuk kasut hitam


Menteri Pendidikan Maszlee Malik sebelum ini mengumumkan pemakaian kasut hitam akan dilaksanakan di sekolah-sekolah kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2018.

KASUT hitam perlu dipakai dengan stoking hitam apabila pemakaiannya dikuatkuasa pada 2021, tegas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Amin Senin.

Bagaimanapun, pelajar masih boleh memakai kasut dan stoking putih pada sesi persekolahan tahun 2019 dan 2020, katanya dalam satu surat pekeliling.

“Dalam tempoh transisi tersebut, murid masih dibenarkan untuk memakai kasut dan stoking berwarna putih.

“Justeru, pihak sekolah diminta untuk tidak mengadakan peraturan memaksa murid untuk memakai kasut berwarna hitam dalam tempoh transisi ini.

“Penguatkuasaan pemakaian kasut dan stoking berwarna hitam sepenuhnya akan bermula pada 2021,” kata Amin dalam surat kepada ketua bahagian dan pengarah pendidikan negeri.

Jelasnya, kasut hitam yang dibenarkan untuk murid sekolah rendah dan menengah itu harus diperbuat daripada kanvas atau bahan sintetik seperti nylon dan polyester.

Kasut itu juga perlulah meresap dan menyalur udara demi keselesaan dan kesihatan pelajar, katanya lagi. 

Pada 19 Julai lalu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengumumkan pelajar sekolah boleh mula memakai kasut hitam mulai tahun depan, selepas kementerian mendengar pandangan ibu bapa yang merungut mengenai pemakaian kasut putih.

Selepas kenyataannya itu, Maszlee membuat penjelasan kementerian memberikan tempoh kelonggaran setahun untuk tidak membebankan ibu bapa selain menyesuaikan pelbagai pihak terhadap peraturan baharu itu. – 30 November, 2018.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen