Selepas kasut hitam, Kementerian Pendidikan akan putuskan warna stokin


KEMENTERIAN Pendidikan akan memutuskan status warna stokin yang akan dipakai pelajar sekolah selepas pemakaian kasut hitam dikuatkuasakan secara beransur-ansur mulai tahun depan, lapor Utusan Online.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata status warna stokin itu akan diputuskan selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan selesai bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Kita sedia maklum mengenai perkara ini dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan selesai,” katanya, seperti dipetik portal berita akhbar Utusan Malaysia itu.

Maszlee mengulas kenyataan Naib Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Ameer Ali Mydin yang meminta penjelasan sama ada pelajar sekolah akan juga diwajibkan memakai stokin hitam selaras dengan penukaran warna kasut nanti.

Ameer berkata pihaknya menyambut baik pengumuman kementerian bahawa kasut hitam hanya akan dikuatkuasakan pada 2021 kerana peniaga masih boleh menjual stok kasut putih dalam tempoh ini.

“Bagaimanapun, timbul persoalan dalam kalangan peniaga berkenaan warna stokin yang akan dipakai oleh murid dan pelajar sekolah berkenaan. Sekiranya pihak kementerian mahu melakukan penyelarasan, maka para peniaga boleh buat persediaan stok stokin hitam pada tahun hadapan,” katanya.

Kenyataan Maszlee hari ini turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri Najib Razak yang memerli beliau sebagai menteri pendidikan “yang berpandangan jauh.”

“Saya tidak faham mengapa ada yang mengkritik dia. Warna kasut dan stokin sebenarnya penting dalam perkembangan dan pembentukan pelajar yang sempurna. Sayang sekali Menteri-menteri BN dulu tidak buat kajian sedemikian,” tulisnya di Facebook.

Najib juga berharap Maszlee akan mengkaji “warna baju, warna bangunan sekolah juga.”

“Insya-Allah, anak-anak kita akan mendapat manfaat sepenuhnya dan berjaya di masa depan,” katanya, yang pernah juga jadi menteri pendidikan.

Sabtu lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan pelaksanaan pemakaian kasut hitam bagi murid sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh Malaysia hanya akan berkuat kuasa sepenuhnya mulai 2021.

Penangguhan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan terdiri daripada persatuan ibu bapa dan guru, pentadbir sekolah, badan masyarakat dan pembekal kasut.

“Kementerian bersetuju pemakaian kasut hitam perlu dilaksanakan secara beransur-ansur mulai sesi persekolahan 2019 dan diperluaskan penggunaannya pada 2020,” kata kementerian dalam satu kenyataan media.

Sehingga 2021, murid sekolah masih dibenarkan memakai kasut putih dalam tempoh peralihan sehingga penguatkuasa sepenuhnya kasut hitam nanti.

Pada 19 Julai lalu, Maszlee mengumumkan pelajar sekolah boleh mula memakai kasut hitam mulai tahun depan, selepas kementerian mendengar pandangan ibu bapa yang merungut mengenai pemakaian kasut putih.

Selepas kenyataannya itu, Maszlee membuat penjelasan kementerian memberikan tempoh kelonggaran setahun untuk tidak membebankan ibu bapa selain menyesuaikan pelbagai pihak terhadap peraturan baharu itu. – 15 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tun... Tak ada ke dari parti bersatu.. yang layak jadi Menteri. Tengok dap.... tak ada lah isu2 bodoh, remeh macam menteri ini.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Zainal Mahfodz · Ulasan