Kerajaan tidak halang Himpunan Bantah ICERD


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengulas tentang himpunan ICERD pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Bersatu di Petaling Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 28 November, 2018.

HIMPUNAN Bantah ICERD pada 8 Disember depan di Kuala Lumpur boleh diteruskan selagi tidak melanggar undang-undang negara, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Kita sudah kata tidak akan ratifikasi ICERD tetapi kalau mereka hendak adakan perhimpunan lain, kita tidak boleh halang mereka berdemonstrasi.

“Tetapi jika mahu berdemonstrasi, ia perlu dilakukan dengan cara yang betul.

“Jangan kotorkan kawasan, musnah rumah, ini semua perlakuan jenayah dan kita akan ambil tindakan,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di ibu pejabat Bersatu Petaling Jaya hari ini.

Jumaat lalu kerajaan memutuskan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) selepas mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.

Bagaimanapun himpunan yang dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dikhuatiri akan menambah ketegangan kaum susulan daripada insiden kekecohan yang berlaku di kuil Sri Mariamman USJ awal pagi Isnin lalu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika dihubungi The Malaysian Insight baru-baru ini menegaskan himpunan tersebut tiada kaitan dengan isu kuil dan bertegas ia tetap akan diteruskan.

“Tiada kaitan. Himpunan diteruskan untuk manifestasikan rasa syukur, terima kasih serta penghargaan atas penolakan ratifikasi ICERD,” kata Zahid.

Bagaimanapun PAS mengambil pendirian untuk membincangkan semula penyertaan parti itu dalam himpunan tersebut dan akan diputuskan dalam satu mesyuarat khas yang diadakan pada malam ini.

“Jadi tiada pandangan atau pendirian apa-apa daripada PAS ketika ini. Segalanya akan diputuskan esok malam (malam ini),” kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan. – 28 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen