Najib, penjawat awam 'pengkhianat' kerana palsukan audit 1MDB


Penglibatan kakitangan kerajaan dalam pengubahan laporan audit 1MDB memalukan perkhidmatan awam dan mereka perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2018.

BEKAS perdana menteri Najib Razak melakukan “perbuatan khianat peringkat paling tinggi” dengan memerintahkan pengubahan laporan audit mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Presiden Persatuan Patriot Nasional (Patriot) Mohammed Arshad Raji.

Pada Ahad, Ketua Audit Negara, Dr Madinah Mohamad mengesahkan beberapa bahagian laporan audit 1MDB, yang akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), diubah dengan arahan Najib dan bekas pembantunya, Shukry Mohd Salleh.

Arshad berkata hakikat Najib membuat arahan itu dengan kehadiran penjawat awam tertinggi yang “memberi sokongan atau tidak melakukan apa-apa bagi menghentikan pemalsuan” itu juga memberi malu kepada perkhidmatan awam.

“Membiarkan insiden pemalsuan ini menjadi sesuatu yang memalukan kepada perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan veteran itu mencadangkan semua mesyuarat kementerian dalam minggu akan datang bertafakur sebentar bagi merenungkan kembali perbuatan memalukan ini, sementara orang awam berhak menerima permohonan maaf daripada mereka yang terlibat.

“Biarlah ia diselesaikan dan komited perkara ini tidak boleh dibenarkan berlaku lagi.

“Semua penjawat awam tertinggi yang dinamakan ketua audit terlibat dalam kes pemalsuan laporan 1MDB harus membuat permohonan maaf secara terbuka,” katanya.

Dalam ruangan editorial hujung minggu, akhbar milik Umno Utusan Malaysia menyifatkan Najib sebagai “pengkhianat” jika terbukti beliau mengarahkan pengubahan laporan audit 1MDB. –  26 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen