Ketua audit negara sahkan Najib arah ubah laporan audit 1MDB


Low Taek Jho atau Jho Low diburu pihak berkuasa Malaysia dan antarabangsa kerana peranannya dalam skandal 1MDB. – Gambar Youtube, 25 November, 2018

KETUA Audit Negara Dr Madinah Mohamad mengesahkan Low Taek Jho atau  Jho Low hadir pada mesyuarat Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Maklumat itu bagaimanapun digugurkan daripada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB pada 2016 atas arahan bekas perdana menteri Najib Razak menerusi pegawainya.

Madinah berkata perkara itu diarahkan bekas ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri, Shukry Salleh pada 26 Februari 2016 atas alasan ianya sensitif dan untuk mengelak fakta diputar-belit oleh pihak pembangkang ketika itu.

Madinah berkata beliau telah menyampaikan taklimat kepada mesyuarat Jemaah Menteri mengenai pindaan kepada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan berkenaan dimuktamad dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016. 

“Laporan akhir Pengauditan 1MDB sebelum pindaan telah diserahkan  kepada  Surujanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan itu Madinah mendedahkan beberapa insiden melibatkan arahan supaya perenggan tertentu digugurkan atau dipinda.

Berdasarkan kronologi yang disediakan pasukan Audit 1MDB Jabatan Audit Negara Malaysia, beliau berkata Shukry  pada 20 Februari 2016, telah meminta pasukan audit itu untuk mengemukakan laporan akhir audit 1MDB untuk dibincangkan bersama Najib.

Menurutnya dalam satu mesyuarat dengan Najib pada 22 Feb 2016 di pejabat Perdana Menteri,  Najib telah mengarahkan pengguguran perenggan yang mengandungi dua versi Penyata Kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014 dan mengarahkan siasatan dijalankan oleh pihak penguatkuasa. 

Sehubungan itu, pembentangan laporan tersebut kepada PAC yang dijadualkan pada 24 Feb 2016 telah ditangguhkan kepada 4 Mac dan 7 Mac 2016, kata Madinah. 

Beliau  berkata mesyuarat itu turut dihadiri bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Dr Ali Hamsa, Shukry dan bekas Ketua Audit Negara (KAN) Ambrin Buang.

Madinah seterusnya berkata pada 23 Feb 2016, dalam mesyuarat di pejabat KSN ketika itu,  pasukan Audit 1MDB telah dimaklumkan bahawa kerajaan telah mengkategorikan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebagai satu krisis.

Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh Ali, Shukry dan Ambrin, kata beliau.

Bekas perdana menteri Najib Razak dikatakan memberi arahan untuk meminda laporan akhir audit 1MDB dengan mengeluarkan nama Jho Low dalam senarai kehadiran mesyuarat lembaga pengarah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2018.

Laporan akhir audit 1MDB dibincangkan pada 24 Feb dan hasil perbincangan itu, beberapa perenggan lagi dalam laporan berkenaan telah diarah digugurkan dan dipinda.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Ali, bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan IMDB Arul Kanda Kandasamy, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas setiausaha sulit kanan kepada KSN dan bekas pengarah audit.

Madinah berkata pada 25 Februari 2016, pasukan Audit 1MDB diarahkan oleh Ali untuk menghadiri mesyuarat di pejabatnya bersama dengan Arul Kanda bagi meneruskan perbincangan mengenai laporan itu yang mana beberapa lagi penemuan yang dilaporkan telah digugurkan dan dipinda.

Katanya pada 26 Februari, Shukry telah mengarahkan bekas pengarah audit untuk  menggugurkan  perenggan berkaitan Jho Low dan pada 28 Februari bekas setiausaha sulit kanan kepada Ali telah meminta laporan yang dipinda itu diserahkan kepada beliau.

Madinah berkata pada 29 Februari 2016, Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang telah dipinda telah diserahkan kepada Ali.

 Pada 1 Mac 2016, Ali kemudian  telah mengarahkan pasukan Audit 1MDB sekali lagi hadir ke pejabat beliau untuk membincangkan semula laporan akhir yang telah dipinda.

“Semasa sesi ini bekas presiden dan CEO Kumpulan IMDB (Arul Kanda) hadir dan beliau telah menyemak semula laporan tersebut secara terperinci bersama pasukan audit dan meminta dibuat beberapa perubahan (gugur/pinda) lagi kepada laporan itu,” kata Madinah. 

Madinah berkata pada 2 Mac 2016, Laporan Akhir Pengauditan 1MDB telah dicetak dan seterusnya pada 3 Mac dua naskah laporan itu diserahkan bekas setiausaha sulit kanan kepada Ali.

Katanya pada 4 Mac dan 7 Mac 2016 Ambrin membentangkan laporan itu di hadapan PAC. – Bernama, 25 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen