Urus niaga dengan China kurang telus cetus kebimbangan, kata Nurul Izzah


Asila Jalil

Perdana Menteri Najib Razak menghadiri majlis pecah tanah ECRL di Kuantan yang merupakan satu daripada projek usahasama negara dengan China. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2017.

RAKYAT Malaysia perlu mengambil berat soal ketelusan dan akauntabiliti dalam urus niaga yang melibatkan pelaburan bernilai RM140 bilion di antara Putrajaya dengan China, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Bagaimana pelaburan ini akan menjejaskan rakyat Malaysia akan dibincangkan secara panjang lebar dalam forum Institut Rakyat pada 24 Ogos.

Forum yang bakal diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor akan menampilkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, pakar ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram dan Azrul Azwar Ahmad Tajuddin serta Nurul Izzah.

“Tanpa pengawasan dan analisis sewajarnya, rakyat Malaysia perlu bimbang yang urus niaga dengan China, bagi sesebuah kerajaan dengan skala ini adalah keterlaluan, terlalu cepat dan terlalu awal,” kata Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai.

Institut Rakyat akan memberi penekanan kepada 14 memorandum persefahaman yang Perdana Menteri Najib Razak tandatangani dengan China pada November lalu yang berjumlah RM143.6 bilion, bersamaan 55% daripada bajet persekutuan Malaysia tahun ini.

“Pelaburan China di Malaysia, jika diterjemahkan akan menjadi kewajipan hutang negara yang besar, memerlukan perbincangan peringkat kebangsaan secara holistik dan menyeluruh.

“Manfaat dan kelemahan bagi kemungkinan kemasukan modal yang cepat dan tidak terkawal dari China akan dibincangkan secara terperinci oleh ahli panel, terutama dari segi politik, ekonomi dan sosial,” kata Nurul Izzah, sambil menambah polisi mengenai pelaburan China di Malaysia akan didedahkan di forum.

Beliau berkata projek seperti Forest City dan Bandar Malaysia diumumkan dengan sedikit maklumat tentang potensi kesan buruknya terhadap negara.

Soalan mengenai projek seperti Link Laluan Pantai Timur (ECRL) dan Melaka Gateway juga tidak dijawab dan memerlukan penjelasan segera.

Gateway Malacca adalah urus niaga bernilai RM43 bilion yang bertujuan menandingi Singapura sebagai pelabuhan terbesar di rantau ini manakala ECRL akan menelan belanja RM55 bilion.

“Boleh dikatakan yang kebebasan kewangan dan kedaulatan negara Malaysia dan rakyat akan dipertaruhkan kerana tindakan tergesa-gesa kerajaan dalam urus niaga ini tanpa ketelusan atau akauntabiliti.

“Semuanya perlu dianalisis secara terbuka dan disahkan sekarang, sebelum terlambat untuk membatalkannya tanpa beban dan kos yang besar kepada rakyat.” – 18 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen