SPRM siasat pembelian hotel FIC ke-3 yang mencurigakan


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat satu lagi kes pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), lapor NST Online hari ini.

Hartanah yang dipersoalkan ialah Hotel Grand Borneo, yang merupakan sebahagian daripada 1Borneo Hypermall, di Kota Kinabalu. FIC dilaporkan membayar RM86.4 juta bagi pembeliannya pada 2012.

Sumber berkata siasatan baru itu adalah untuk memastikan sama ada FIC terlebih bayar seperti yang didakwa dilakukan dalam urus niaga Park City Grand Plaza di Kensington, London, dan Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching.

“Semasa menyiasat pembelian hotel London, maklumat mengenai Merdeka Palace timbul dan itulah sebabnya kami memulakan siasatan ke atas urus niaga itu.

“Ia sama dengan urus niaga Hotel Grand Borneo,” kata sumber itu.

Park City Grand Plaza yang dilaporkan dibeli dengan harga RM330 juta, didakwa melebihi RM220 juta daripada nilai sebenarnya iaitu RM110 juta, sementara Merdeka Palace, hotel lima bintang dengan 213 bilik, didakwa dibeli RM50 juta lebih mahal berbanding nilai pasaran.

SPRM memanggil pelbagai individu untuk disoal siasat mengenai pembelian dan menyerbu pelbagai lokasi termasuk pejabat bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Isa ditangkap pada Selasa ketika berada di ibu pejabat SPRM untuk direkodkan kenyataannya dan kemudian ditahan pada Rabu selama lima hari.

Sumber berkata isteri Isa, Bibi Sharliza Mohd Khalid, mungkin tidak ditangkap kerana tidak disyaki terlibat secara langsung dengan kesalahan jenayah.

Mengenai mengapa aset Isa tidak dibekukan ketika beliau sedang disiasat dengan dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, sumber berkata penyiasat terlebih dahulu perlu memastikan sumber kekayaan dimilikinya.

“Proses ini tidak semestinya memberi tumpuan kepada sepanjang tempoh beliau bersama Felda,” kata sumber. – 18 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen