KEPUTUSAN Putrajaya membatalkan hasrat meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah keputusan sebulat suara Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini, lapor Bernama.
Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata kerajaan selama ini bersiap terbuka dan memberi peluang kepada rakyat menyuarakan hal-hal yang sebelum ini dianggap sensitif, namun ICERD sudah “sampai ke tahap alergik”.
“Tetapi apabila sampai ke tahap ‘alergik’ ICERD, maka Kabinet menggunakan kebijaksanaan membuat keputusan kerajaan tidak akan meratifikasi konvensyen itu,” katanya, seperti dipetik Bernama.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pendek hari ini mengumumkan kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD, sebaliknya akan mempertahankan kontrak sosial yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini,” kata kenyataan itu.
Perkembangan terbaru itu menyusul bantahan meluas pelbagai pihak termasuk dua parti utama Melayu, Umno dan PAS yang merancang rapat umum besar di Kuala Lumpur pada 8 Disember.
Susulan keputusan Putrajaya itu, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendesak Saifuddin letak jawatan untuk mengambil tanggungjawab atas kesilapan besar yang memalukan.
Katanya, Malaysia sudah terlajak membuat komitmen kepada masyarakat antarabangsa untuk mengesahkan “perkara yang memang takkan dapat sokongan majoriti rakyat.”
“Ini bukan kesilapan yang kecil. Komitmen (meratifikasi iCERD) dibuat dalam ucapan PM di UNGA (Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu), bukannya ceramah kampung,” tulis Khairy di Twitter.
Dalam ucapannya di PBB pada akhir September, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan baharu Malaysia akan mengiktiraf semua baki instrumen badan dunia itu berkaitan perlindungan hak asasi manusia.
“Bukan mudah bagi kami kerana Malaysia adalah negara berbilang etnik, agama, budaya dan bahasa.
“Kami akan memperuntukkan ruang dan masa bagi semua untuk membuat keputusan secara bebas berasaskan demokrasi,” katanya dalam ucapan pada 29 September itu. – Bernama, 23 November, 2018.
Komen