MENTERI Luar Saifuddin Abdullah mesti letak jawatan selepas kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Katanya, Saifuddin mesti bertanggungjawab atas keputusan patah balik kerajaan itu kerana Malaysia terlajak membuat komitmen kepada masyarakat antarabangsa untuk mengesahkan “perkara yang memang takkan dapat sokongan majoriti rakyat.”
“Ini bukan kesilapan yang kecil. Komitmen (meratifikasi ICERD) dibuat dalam ucapan PM di UNGA (Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu), bukannya ceramah kampung,” tulis Khairy di Twitter.
Dalam ucapannya di PBB pada akhir September, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan baharu Malaysia akan mengiktiraf semua baki instrumen badan dunia itu berkaitan perlindungan hak asasi manusia.
“Bukan mudah bagi kami kerana Malaysia adalah negara berbilang etnik, agama, budaya dan bahasa.
“Kami akan memperuntukkan ruang dan masa bagi semua untuk membuat keputusan secara bebas berasaskan demokrasi,” katanya dalam ucapan pada 29 September itu.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pendek hari ini mengumumkan kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD, sebaliknya akan mempertahankan kontrak sosial yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perkembangan terbaru itu menyusul bantahan meluas pelbagai pihak termasuk dua parti utama Melayu, Umno dan PAS yang merancang rapat umum besar di Kuala Lumpur pada 8 Disember.
Minister for Foreign Affairs should take responsibility and resign. This is not a small blunder. The commitment was made in PM’s UNGA address. Not some kampung ceramah. @saifuddinabd https://t.co/C0yHrsQy1F
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) November 23, 2018
Dalam satu komen di Twitter sebelum itu, Khairy berkata keputusan kerajaan membatalkan hasrat meratifikasikan ICERD “sudah dijangka”.
“Saifuddin dan Wisma Putra menyebabkan kesilapan besar ini dengan tidak memikirkan hal ini masak-masak dan menyakinkan Mahathir untuk menyuarakan komitment di UNGA,” katanya.
Beliau menyifatkan pembatalan hasrat Putrajaya itu sebagai sesuatu yang memalukan. – 23 November, 2018.
Komen