TIGA belas maut dan sekurang-kurangnya 50 cedera selepas sebuah van merempuh orang ramai di sebatang jalan di kawasan tumpuan pelancong di Barcelona, Sepanyol, dalam satu lagi serangan ganas menggunakan kenderaan sebagai senjata.
Daish mengaku bertanggungjawab atas serangan yang menggunakan sebuah van putih jenis Fiat itu, lapor media.
Kejadian berlaku di Las Ramblas, sebatang jalan di pusat bandar raya Barcelona, yang menghubungkan kota tua dengan bandar baru dan terletak dekat dataran Plaza Catalunya yang jadi tumpuan umum.
Polis menyifatkan kejadian satu serangan keganasan dengan niat jahat membunuh seramai mungkin orang awam.
Polis turut mengaitkan rempuhan van itu dengan kejadian dua letupan di sebuah rumah kira-kira 200 kilometer ke selatan Barcelona itu, yang membunuh seorang yang berada di rumah itu dan mencederakan seorang yang lain.
Polis dan bomba yang bergegas ke tempat kejadian turut cedera, 15 orang semuanya, apabila berlaku letupan kedua semasa mereka memeriksa rumah berkenaan.
Polis Barcelona menahan dua lelaki dan masih memburu pemandu van yang melarikan diri selepas rempuhan.
Polis sebelum itu menamakan identiti pemandu van itu sebagai penyewa van Driss Oukabir. Lelaki itu kemudian menyerah diri selepas dapat tahu dia diburu. Dia memberitahu polis dokumen pengenalannya hilang dicuri dan dia tidak ada kena mengena dengan rempuhan van itu.
Insiden ini menambah senarai serangan pengganas menggunakan kenderaan sebagai senjata seperti yang pernah terjadi Nice, Berlin, Stockholm dan London.
Kejadian terbaru, pada hujung minggu lalu apabila sebuah kereta merempuh penunjuk perasaan membantah rapat umum pelampau kulit putih di Charlottesville, Virginia. – 18 Ogos, 2017.
Komen