Van rempuh orang ramai di Barcelona


Sebuah van berwarna putih tiba-tiba merempuh bahu jalan dan melanggar orang ramai yang mengunjungi dataran dekat Plaza de Cataluña di kawasan pusat bandar raya Barcelona. – Gambar AFP, 17 Ogos, 2017.

SEBUAH van merempuh orang ramai yang memenuhi sebatang jalan raya di kawasan tumpuan pelancong di Barcelona menyebabkan beberapa orang cedera, lapor media Sepanyol.

Sehingga berita ini ditulis, belum ada sebarang kepastian apakah kejadian ini satu serangan pengganas.

Media Sepanyol yang memetik saksi melaporkan, sebuah van putih tiba-tiba merempuh bahu jalan dan melanggar orang ramai yang lalu lalang di kawasan berdekatan Plaza de Cataluña yang terletak di tengah bandar raya itu.

Akhbar El Pais melaporkan pemandu van berkenaan melarikan diri selepas kejadian.

Polis Barcelona dalam satu kenyataan pendek di Twitter mengesahkan kejadian sebagai satu “kemalangan besar”.

Polis kemudian mengarahkan stesen kereta api dan metro yang berdekatan tempat kejadian ditutup, dan menasihati orang ramai untuk tidak menghampiri kawasan kejadian.

Ini bukan kali pertama kejadian seumpama ini berlaku di Eropah, mengingatkan kepada rempuhan yang hampir sama yang berlaku sejak Julai 2016 di beberapa bandar besar termasuk Nice, Berlin, London dan Stockholm.

Barcelona merupakan sebuah kota tumpuan pelancong dan menerima lebih kurang 11 juta pelancong setahun.

Menurut agensi berita Reuters, sejak beberapa minggu lalu muncul grafiti di sekitar kota keenam paling ramai penduduk di Eropah itudengan mesej anti pelancong. – 17 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen