Mohamadin Ketapi tepis dakwaan anak menteri jaga kementerian


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi berkata tiada mana-mana menteri kerajaan Pakatan Harapan yang bodoh membiarkan anak mereka menjaga urusan kementerian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2018.

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi memberi jaminan tidak ada menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membiarkan kementerian mereka “dikawal” anak sendiri, seperti didakwa pihak tertentu.

Katanya, dakwaan itu sama sekali tidak berasas.

“Mana ada menteri bodoh sangat kasi anak dia kerja untuk tender, buat keputusan.

“Saya memberi jaminan tidak ada satu menteri akan buat begini dalam kerajaan PH,” katanya kepada wartawan hari ini.

Ahli Parlimen Silam dari Parti Warisan Sabah itu menjelaskan dakwaan itu sengaja dihebahkan pihak tidak bertanggungjawab yang hatinya busuk.

“You don’t believe these kind of s**t and rubbish (Jangan percaya benda mengarut macam ini),” katanya.

Mohamaddin turut mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan yang tersebar itu.

“Ada dakwaan seperti ini, siasatlah. Tapi saya suka memberi jaminan, menteri PH yang ada hari ini tidak seburuk yang didakwa.

“Ini sengaja diada-adakan,” tambahnya.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ditanya mengenai dakwaan ada anak seorang menteri persekutuan “mengawal” aktiviti kementerian termasuk menentukan syarikat yang layak dapat tender kerajaan secara terus.

Perdana menteri berkata dakwaan tersebut dalam perhatian SPRM. – 22 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen