SPRM siasat kes anak menteri, kata Dr Mahathir


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan SPRM seorang anak kepada seorang menteri berhubung kes memonopoli kontrak kementerian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 21 November, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan seorang anak kepada menteri Kabinet disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes memonopoli kontrak kementerian.

“SPRM sedang siasat,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan kes tersebut hari ini.

Siasatan itu dipercayai kes pertama melibatkan anak kepada seorang menteri Kabinet dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Dr Mahathir bercakap selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Putrajaya.

Mesyuarat berkenaan antara lain memutuskan bahawa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu memeriksa sepenuhnya setiap barangan yang dibawa masuk ke dalam negara.

Selai itu, mesyuarat itu juga menetapkan untuk memberi tempoh dua tahun bermula 5 Oktober lalu kepada semua syarikat berkaitan kerajaan untuk menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU).

Beliau berkata inisiatif itu bagi memantap dan memperkukuhkan integriti dan tadbir urus korporat, selaras dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bebas rasuah.

Selain itu JKKMAR turut bersetuju supaya satu garis panduan dikeluarkan mengenai “Corporate Liabilities and Adequate Procedures” bagi semua syarikat.

Kerajaan juga akan melancarkan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) pada Januari 2019 bagi memantapkan sistem pengurusan pentadbiran kerajaan mengenai tadbir urus, integriti dan anti rasuah.

Katanya, pensijilan ISO 37001 Anti-Bribery Management System akan turut digunapakai secara menyeluruh di setiap kementerian, agensi, jabatan dan GLC yang berisiko tinggi.

“Usaha ini akan menjadikan Malaysia negara pertama di dunia yang mendapat pensijilan ISO 37001 dalam sektor awam,” katanya. – 21 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen