Ganti rugi mahkamah untuk pelajar timbulkan masalah disiplin 


Mustafa K. Anuar

Disiplin dalam kalangan pelajar merupakan perkara utama yang perlu diberi penekanan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2018

KES pelajar yang diberikan pampasan RM43,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin kerana mengalami kecederaan akibat tindakan gurunya menunjukkan implikasi serius dalam mendisiplinkan pelajar sekolah.

Bekas penolong kanan sekolah, yang enggan identitinya didedahkan berkata, kes mahkamah akan membuatkan segelintir pelajar, terutamanya yang berusia, merasakan mereka “tidak boleh disentuh”.

Pelajar katanya, akan menganggap kes mahkamah ini sebagai penghalang kepada guru untuk mendisiplinkan mereka.

“Bagaimanapun, terdapat guru yang hanya berhenti menghukum pelajar seketika sebelum kembali mendisiplinkan mereka.”

Adakalanya, berikutan tekanan kerja katanya, ada segelintir guru yang secara peribadi akan menjalankan hukuman.

Selain itu, sesetengah pelajar hari ini boleh menjadi begitu teruk sehingga bertindak memprovokasi guru untuk menghukum mereka, katanya.

“Sebenarnya, cara terbaik adalah guru-guru ini merujuk kes kepada guru disiplin, atau penolong kanan hal ehwal murid, yang akan menghubungi ibu bapa mereka.

“Sekiranya semua ini masih gagal, barulah guru berjumpa pengetua berhubung perkara itu,” katanya.

Dalam keputusan mahkamah, pelajar di sebuah sekolah di Shah Alam, R. Nivedha Nancy Ann menerima ganti rugi kos RM43,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana kecederaan yang dialami selepas dipukul dan ditampar seorang guru dua tahun lalu.

Hakim Noor Ruzilawati Mohd Noor mendapati guru terbabit dan sekolah bertanggungjawab di atas serangan terhadap Nivedha, 15.

Nivedha membuat laporan polis terhadap guru terbabit menerusi bapanya, R. Ramesh pada 2016 dan memulakan kes sivil.

Dalam pada itu, seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia yang enggan dikenali berkata, hukuman seperti itu sama seperti membiarkan dan merosakkan anak itu, sambil menambah bahawa guru-guru itu dibuat untuk takut kepada pelajar mereka.

Beliau berpendapat bahawa terdapat kes pelajar yang boleh jadi gangguan dan ia memerlukan hukuman tegas.

Bagi bekas guru yang hanya mahu dikenali sebagai Ivy, disiplin merupakan perkara paling penting di sekolah.

Katanya: “Kamu tidak boleh mulakan kelas jika ada gangguan di kalangan murid.

“Ini sebabnya guru yang baik akan tetap mahukan disiplin walaupun berdepan cabaran dari ibu bapa masa kini.”

Seorang guru dari sekolah menengah China turut berpendirian sama dengan Ivy.

“Sesetengah guru yang bertekad tetap akan mengutamakan disiplin murid walaupun pentadbiran sekolah tidak dapat memberikan sokongan yang sangat diperlukan apabila berhadapan dengan aduan dari ibu bapa,” katanya.

Segelintir ibu bapa cukup angkuh untuk mempamerkan status sosial mereka dan pada masa yang sama memarahi guru kerana menghukum anak-anak mereka.

“Terdapat kes di mana ada ibu bapa yang pergi ke kelas dan menyerang guru di hadapan pelajar lain, dan mengatakan guru sepertinya, yang gajinya hanya setaraf dengan pekerja paling rendah di syarikatnya, tidak sepatutnya berani menghukum anaknya, yang dia sendiri tidak pernah berbuat demikian,” katanya.

Terdapat juga kes di mana beberapa pelajar yang prestasi pembelajarannya kurang baik mengancam untuk mencederakan guru, yang mahu mendisiplinkan mereka, di luar sekolah.

Kes sebegini menghakis moral segelintir guru sehingga mereka memutuskan untuk tidak terlalu mengambi berat terhadap pelajar tertentu yang memberontak, tambahnya.

“Dalam erti kata lain, guru ini akan hanya pilih jalan selamat.”

Sementara itu, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) memberi peringatan kepada guru untuk bertanggungjawab dan mematuhi prosedur operasi standard dalam menguruskan pelajar.

“Kes Nivedha perlu menjadi peringatan kepada guru yang tidak boleh memukul, mencederakan, buli atau menghina pelajar dan terlepas dari hukuman,” katanya dalam satu kenyataan ringkas. 

Menurutnya, pengetua dan pentadbir tidak sepatutnya menyembunyikan kebenaran dalam usaha untuk menjaga nama baik sekolah.

“Pengetua sekolah dan pentadbir juga akan diambil tindakan sekiranya terbukti mereka menyembunyikan kesalahan dan bukti dalam usaha untuk menjaga nama baik sekolah, pengetua dan guru-gurunya daripada tercemar.

“Menjadi rakan subahat untuk jenayah juga merupakan kesalahan. Sebarang aduan mengenai kesalahan di sekolah perlu diambil serius. ” – 21 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen