Najib disoal siasat berhubung Scorpene, Razak Baginda mungkin menyusul


Skandal kapal selam Scorpene yang pernah menggamatkan negara, kini disiasat semula oleh SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2018.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatannya terhadap pembelian dua kapal selam Scorpene sewaktu Najib Abdul Razak menjadi menteri pertahanan lapor Malaysiakini hari ini.

Mengutip kata sumber, portal itu berkata ia adalah sebab Najib dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini.

Sumber berkata penyiasat sedang menyiasat kes dakwaan sogokan telah diberikan bagi pembelian kapal selam itu dari Perancis pada tahun 2002, SPRM juga mungkin akan memanggil orang lain untuk memudahkan siasatan.

Orang yang mungkin akan dipanggil, mengikut salah satu sumber, adalah termasuk bekas rakan kongsi Najib, Abdul Razak Baginda.

Najib menyelia rundingan perniagaan bernilai hampir RM5 bilion untuk membeli dua kapal selam Scorpene dan satu kapal selam Agosta dari unit kapal tentera laut Perancis DCN, yang dikaitkan dengan kumpulan pertahanan Perancis, Thales.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, DCN bersetuju untuk membayar sejumlah EUR30 juta kepada unit Thales Asia, Thales International Asia (Thint Asia).

Pihak berkuasa Perancis memulakan siasatan ke atas perjanjian itu pada tahun 2010 sebagai tindak balas terhadap aduan daripada kumpulan hak asasi Suaram Malaysia.

Penyiasat Perancis juga meneliti dakwaan bahawa sejumlah EUR114 juta telah dibayar kepada syarikat Perimekar yang berpangkalan di Malaysia, sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

Syarikat itu dikawal oleh isteri Razak.

Kapal selam itu telah dinamakan KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak dan angkatan laut mengambil penghantaran kedua-dua buah kapal selam berkenaan pada September 2009 dan Julai 2010. – 19 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen