Pemandu Hilux rempuh restoran di Serdang ditahan


Ketua Polis Daerah Serdang Ismadi Borhan berkata wanita berusia 57 tahun itu sedang makan malam bersama anggota keluarganya di hadapan premis berkenaan sebelum dilanggar pada kira-kira 8.15 malam. – Gambar Twitter, 19 November, 2018.

PEMANDU kenderaan pacuan empat roda itu merempuh kawasan makan di luar sebuah restoran di Serdang yang menyebabkan seorang maut sudah ditahan, menurut polis.

Ketua Polis Serdang Ismadi Borhan berkata suspek ditahan pada jam 1.43 pagi tadi.

Katanya, kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux itu pula ditemui ditinggalkan berhampiran Taman Universiti Indah, beberapa kilometer dari tempat kejadian.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis akan memohon tahanan reman untuk suspek hari ini dan sudah melakukan ujian air kencing dan darah.

Semalam, kejadian itu menyebabkan wanita berusia 57 tahun maut dan empat lagi cedera selepas kenderaan itu merempuh kawasan terbuka restoran.

“Mangsa terdiri daripada seorang warga Vietnam dan empat Malaysia.”

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan. – 19 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen