KALANGAN peneroka Felda menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji untuk memansuhkan 50% hutang mereka seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya.
Golongan peneroka ini yang ditemui di Felda Moakil di Labis, Johor berkata, kerajaan perlu menunaikan janji tersebut kerana mereka kini teruk menderita akibat kejatuhan harga kelapa sawit.
Kalangan peneroka yang ditemui The Malaysian Insight ini percaya kejatuhan harga komoditi berkenaan disebabkan dasar kerajaan PH membatalkan projek melibatkan negara China.
Seorang peneroka Felda Moakil 1, Sahri Yunus berkata projek dengan negara China itu sepatutnya diteruskan kerana negara tersebut merupakan pembeli utama hasil sawit.
“Mulut celupar sangat, batal ECRL (Projek Landasan Keretapi Pantai Timur), projek China, peneroka yang kena tempiasnya.
“Tidak mengapa kerajaan bayar ECRL mahal sikit, tapi China beli minyak sawit kita, kami peneroka dan pekebun sawit dapat juga hasil, ada juga timbal baliknya.
“Tapi bila batal ECRL, China tak beli lagi minyak sawit kita, mereka beli dari negara lain, kita apa pun tak dapat, ECRL tidak ada, sawit pun tidak ada harga lagi, rakyat yang rugi,” kata Sahri, 45.
Di kawasan Felda di Johor itu, para peneroka kini mendapat bayaran RM380 untuk setiap satu tan kelapa sawit.
Pada minggu ini juga, harga dagangan masa hadapan komoditi itu juga dilaporkan jatuh ke paras bawah RM2,000 buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun.
Seorang lagi Yusof Abdullah, 57, juga berpendapat, Malaysia selama ini sememangnya bergantung harap kepada pasaran China dan India kerana negara-negara Eropah memboikot minyak sawit.
“Kita kalau dapat jual dekat China dengan India cukup, kalau rakyat China guna seorang satu sudu minyak sawit pun banyak kita boleh jual.
“Tapi bila China dah tak beli minyak sawit, kita nak makan apa, harga sawit terus jatuh macam inilah,” katanya.
Harga komoditi itu mula merudum sejak Januari lalu yang dilaporkan berpunca daripada kenaikan bahan input pertanian dan juga kejatuhan nilai mata wang negara.

Tiada insentif peneroka
Perdana menteri waktu itu Najib Razak memberi amaran kepada pengusaha sawit dan peneroka Felda bahawa harga komoditi itu akan terus jatuh jika PH menjadi kerajaan.
Katanya, ini memandangkan kerajaan akan membatalkan projek melibatkan China, yang merupakan antara pembeli terbesar untuk pengeluaran kelapa sawit.
Dr Mahathir pada Oktober berkata, keputusan kerajaan membatalkan beberapa projek mega adalah disebabkan kekangan kewangan selain dapat menjimatkan kos kerajaan sehingga mencecah RM300 bilion.
Selain ECRL, antara projek lain yang dibatalkan kerajaan termasuklah projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah dan projek landasan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura .
Peneroka di Felda Moakil 1 ini juga tertanya-tanya kerana kerajaan PH tidak pernah menyebut apa-apa insentif khusus untuk Felda sejak mengambil alih kerajaan.
Walhal, parti tersebut menyatakan pelbagai janji termasuk memansuhkan hutang ditanggung peneroka, kata ketua blok kawasan Felda itu, Kaulan Ngadiran, 67.
“Dulu masa pilihan raya janji macam-macam, kata nak mansuh hutang 50%, mana dia.
“Sebaliknya, kami dimaklumkan dalam mesyuarat, ada cadangan wang sara hidup daripada RM1,400 sebulan nak diturunkan lagi kepada RM1,200, nak makan apa?” katanya.
“Kalau boleh kita nak naikkan lagi (sebab) harga barang naik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau menjelaskan, wang sara hidup itu diperolehi oleh majoriti peneroka yang telahpun menyerahkan ladang mereka kepada Felda Technoplant.
Mereka akan diberikan wang sara hidup secara berkala sehingga ladang mencapai titik pulang modal.
Namun wang sara hidup itu sebenarnya adalah satu bentuk pinjaman yang akan ditunaikan kelak dengan menggunakan hasil tuaian mereka.
Situasi itu mengakibatkan peneroka menanggung hutang puluhan ribu ringgit dan PH sewaktu kempen pilihan raya lalu berjanji untuk mengurangkan pinjaman itu bagi menarik undi kumpulan berkenaan.
Selain itu, PH turut mengemukakan janji menyusun semula tadbir urus Felda demi membela nasib golongan peneroka.
Lebih baik semasa zaman Najib
Turut kecewa dengan sikap kerajaan PH waktu ini adalah seorang lagi peneroka Felda Moakil 1, Yunus Osman, 55.
Beliau berpendapat, situasi semasa pentadbiran Najib lebih baik kerana pada waktu itu harga sawit mentah paling rendah mencecah sekitar RM400 satu tan.
“Kita terima macam-macam insentif waktu itu, bila tiba hari (pengumuman) bajet perdana menteri waktu itu akan ada beri insentif kepada peneroka Felda.
“Kita tengok kerajaan masa umum bajet tempoh hari mana ada sentuh apa-apa pasal peneroka, pekebun, petani, mana dia peduli dengan kita,” katanya.
Yunus berkata, itu adalah harga yang perlu dibayar peneroka sepertinya selepas majoriti rakyat, terutamanya anak muda memilih untuk menumbangkan BN dalam PRU14.
“Anak-anak muda nak sangat tukar kerajaan, kami orang peneroka, pekebun yang terima nasibnya, nak buat macam mana, gara-gara nak ubah sangat kerajaan, sekarang kami semua jadi sengsara,” katanya.
Pengerusi Anak-anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman ketika dihubungi The Malaysian Insight berkata, pemimpin tertinggi Felda sepatutnya memberi kelonggaran untuk penangguhan pembayaran hutang peneroka.

“Bila tolak hutang mereka, ia akan menjejaskan pendapatan peneroka, bila pungutan diteruskan kesan sangat berat kepada mereka.
“Jadi dalam mesyuarat majlis pemuafakatan Felda kita sebut supaya penangguhan bayaran balik hutang itu dilaksanakan sehingga harga komoditi stabil,” katanya.
Mazlan yang kini pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan turut mengharapkan kerajaan memberikan insentif khas kepada peneroka dan pekebun susulan kejatuhan harga komoditi.
“Dulu kita pernah beri bantuan khas bila berlaku kejatuhan harga komoditi, saya faham kekangan kewangan kerajaan.
“Tapi kejatuhan komoditi melanda masyarakat yang besar (menjejaskan) pekebun, peneroka dan menjejaskan pendapatan rakyat. Kerajaan kena lihat semula bagaimana kita nak bantu,” katanya.
Beliau turut menyeru Felda memuktamadkan penyata hutang peneroka segera kerana janji mengurangkan bebanan hutang peneroka adalah sebahagian manifesto PH.
“Ini perkara yang kita titikberatkan, kerana terkandung dalam manifesto kita. Atas nama Anak kita yakin kerajaan akan laksanakan janji dalam manifesto.
“Tapi masa terlalu awal untuk kita semak aspek berkaitan, peneroka pula kena beri masa dan ruang kepada agensi kerajaan memperbaiki apa yang kita janji,” katanya. – 18 November, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Masfaliza masmuda · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh SSY L · Ulasan