PRESIDEN Dewan Negara Vigneswaran Sanasee mendakwa Menteri Pengangkutan Anthony Loke sengaja memburukkan namanya dengan menyiarkan kesalahannya melanggar protokol keselamatan lapangan terbang tanpa merujuk penjelasan daripadanya.
Vigneswaran yang juga Presiden MIC, menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan kerana tidak dihalang oleh sesiapa ketika menghantar anak perempuannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 14 November lalu.
“Mereka sepatutnya menahan saya tetapi tidak berbuat demikian. Saya juga tidak menyangka ia akan menjadi isu.
“Mereka sepatutnya menghalang saya sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Berbeza dengan kenyataan yang diberikan oleh Loke pada sidang media awal hari ini, Vigneswaran berkata beliau tidak dihalang oleh pengawal keselamatan tetapi diiringi ke lif untuk bertemu dengan staf Pengurusan Pengalaman Pelanggan (CEM) mengenai pelanggaran etika pemakaian.
“Dia (pengawal keselamatan) memberitahu bahawa saya telah sampai di lif. Dia tidak menghalang saya,.
“Kemudiannya saya bertemu pegawai CEM dan mereka menjelaskan tentang pekeliling dari Jabatan Perdana Menteri mengenai etika pemakaian.
“Tetapi pekeliling itu tidak menyatakan tentang kesalahan memakai selipar. Ia hanya menyebut pakaian yang bersesuaian,” katanya.
Katanya beliau memakai sandal kerana mempunyai luka kecil di kaki dan menghubungi pembantunya untuk mengambil kasut di kereta.
Kemudian Vigneswaran meneruskan perjalanan dan tidak dihalang oleh sesiapa.
“Menteri (Anthony) perlu tahu bahawa beliau sepatutnya mendengar penjelasan kedua-dua pihak sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Setidak-tidaknya tanya (saya) tentang perkara yang berlaku.
“Dengar dulu penjelasan kedua-dua pihak sebelum membuat kenyataan,” katanya.
Ditanya mengenai dokumen lain yang secara spesifik melarang pemakaian selipar atau sandal di kawasan VIP, Vigneswaran berkata beliau tidak melihat pekeliling itu dan mendakwa ia merupakan arahan baharu. – 17 November, 2018.
Komen