PRESIDEN MIC Vigneswaran Sanasee melanggar peraturan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur apabila cuba memasuki kawasan larangan walaupun sudah dihalang kerana tidak mematuhi kod pakaian, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini.
Vigneswaran yang juga presiden Dewan Negara dihalang daripada memasuki kawasan larangan itu, dalam kes ini adalah kawasan selepas pintu berlepas, kerana beliau tidak memakai pakaian ditetapkan peraturan kod pakaian untuk VIP.
Loke pada sidang media di KLIA hari ini berkata kejadian itu adalah isu serius kerana ia melibatkan protokol keselamatan untuk kawasan VIP.
“Lapangan terbang adalah kawasan larangan dan bukan sesiapa sahaja boleh masuk. Dalam kes ini, VIP menghantar anaknya dan menggunakan laluan VIP. VIP boleh memasuki dewan pelepasan sehingga ke pintu berlepas.
“Siapapun anda, sama ada anda menteri atau mana-mana VIP, sila beri kerjasama kepada kakitangan lapangan terbang, mereka hanya buat kerja mereka.
“Saya pun kena ikut peraturan,” katanya.
Pada 14 November lalu, sekitar jam 10.40 malam, Vigneswaran tidak mematuhi kod pakaian kerana memakai selipar.
Pengawal keselamatan bertugas memintanya agar berhenti tetapi beliau enggan dan membuat kecoh dengan pegawai lapangan terbang.
Pegawai pengurusan pengalaman pengguna kemudian memberitahu tentang kos pakaian tetapi beliau membantah peraturan tersebut dan marah apabila diberitahu tidak boleh melepasi pintu berlepas untuk menghantar anaknya.
Vigneswaran enggan menukar seliparnya dan memasuki ruangan tersebut. Bagaimanapun beliau melepasi kawasan pintu pelepasan.
Loke berkata isu ini bukan bermotifkan politik tetapi disebabkan kedudukan tinggi yang dipegang oleh Vigneswaran. Menteri pengangkutan itu juga meminta beliau untuk memohon maaf secara terbuka.
“Saya tidak mahu memalukan beliau tetapi dalam kes ini, saya perlu mendedahkannya kepada umum.
“Bukan disebabkan beliau daripada parti pembangkang, tetapi kerana kedudukannya sebagai Presiden Dewan Negara. Saya berharap beliau mampu menunjukkan contoh yang baik.
“Saya menggesanya untuk mengemukakan permohonan maaf secara terbuka atas kejadian itu,” katanya.
“Jika pegawai beritahu yang anda tak boleh melalui pintu itu, dan penumpang tidak patuh, ia adalah pencerobohan kawasan larangan,” kata Loke.
Beliau yang memandang serius isu itu juga mahu laporan lengkap dibuat pihak pengendali lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk dihantar ke Jabatan Perdana Menteri kerana laluan VIP diletakkan dibawah Bahagian Istiadat dan Urus Setia Persidangan Antarabangsa pada Isnin depan.
Katanya sebarang keputusan terhadap kejadian tersebut diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Soal memakai selipar masih boleh dimaafkan, namun sikap yang ditunjukkan pemimpin itu seharusnya tidak dimaafkan walaupun beliau bertaraf golongan kenamaan,”katanya.
Peraturan itu termaktub di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959. – 17 November, 2018.
Komen