Belanja sekolah meningkat, ibu bapa terbeban, kata kajian


Sharon Tan

Kajian Invoke itu mendedahkan majoriti ibu bapa terutama kaum Cina merasai peningkatan belanja sekolah anak-anak mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2017.

BELANJA sekolah anak-anak terbukti semakin meningkat apabila majoriti ibu bapa tiga kaum utama Malaysia sedang bergelut dengan peningkatan belanja lebih 10%, dedah kajian Invoke Centre for Policy Initiatives hari ini.

Kajian dalam kalangan pengundi berdaftar itu menunjukkan majoriti responden yang terdiri daripada tiga kaum utama di Malaysia mengatakan yang perbelanjaan untuk persekolahan anak-anak mereka meningkat sejak tahun lepas

Majoriti responden iaitu sebanyak 64%, terpaksa mengeluarkan belanja sekolah lebih 10% daripada perbelanjaan sebelum ini, sementara 27% responden pula mengatakan perbelanjaan sekolah anak-anak mereka meningkat 6% hingga 10%.  Hanya 19% mengatakan peningkatan belanja itu pada kadar 1% hingga 5%.

Keseluruhan perbelanjaan responden dalam belanja sekolah anak-anak menunjukkan peningkatan.

Peningkatan belanja lebih 10% ini banyak berlaku dalam kalangan ibu bapa Cina, sebanyak 82%, berbanding hanya 57% ibu bapa Melayu dan 58% ibu bapa India.

Rafizi menjelaskan yang angka itu tinggi dalam kalangan responden Cina kerana 92% daripada mereka menghantar anak ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Disebabkan ini, ibu bapa terpaksa mengeluarkan belanja lebih kerana SJKC hanya menerima peruntukan kerajaan untuk pembayaran gaji guru dan bil kemudahan sekolah.

Sekolah Cina juga terpaksa bergantung lebih banyak kepada sumbangan ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), katanya lagi.

Ketua Invoke dan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata hasil kajian memberi gambaran awal kepada tindakan pemotongan bajet yang dilakukan Kementerian Pendidikan sehingga mengurangkan peruntukkan kepada sekolah.

“Ini menyebabkan banyak sekolah terpaksa mengutip duit melalui PIBG, dan ibu bapa kini menanggung kos yang sebelum ini ditanggung kerajaan.

“Sekolah tidak ada pilihan lain dan terpaksa memindahkan kos belanja sekolah seperti kertas, mencetak (untuk proses pembelajaran dan lain-lain) dan program latihan kepada keluarga (pelajar). Keluarga pula terpaksa membayar beberapa ratus ringgit setiap tahun untuk setiap anak dan kerana itulah anda dapat lihat peratusan tinggi (ibu bapa) terkesan,” kata Rafizi.

Kajian Invoke itu dilakukan menerusi panggilan telefon bermula pada 10 Jun hingga 14 Julai. 1.9 juta orang dihubungi melalui sistem temuramah interaktif, tetapi hanya 3,783 jawapan berjaya dikumpul.

Selain itu, kajian sama juga mendedahkan pendapatan 60% responden hanya cukup untuk menanggung belanja bulanan mereka, dan 17% lagi mengatakan yang pendapatan bulanan mereka tidak mencukupi untuk menyara hidup bulanan mereka. 

Manakala, lebih 70% pendapatan isi rumah digunakan oleh 19% responden untuk kereta dan membayar pinjaman perumahan.

“Jumlah ini membimbangkan kerana saya merasakan sebahagian besar daripada 19% ini adalah pengundi muda,” kata Rafizi.

Satu kajian mendalam mengenai perkara ini akan dilakukan tidak lama lagi, katanya lagi. – 16 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen