Sirul pembunuh Altantuya serah rayuan akhir dapatkan perlindungan Australia


Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin (tengah) yang mewakili Sirul Azhar Umar bercakap kepada media di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Januari 2015 selepas mahkamah mengembalikan sabitan bersalah dan hukuman mati terhadap Sirul dan Azilah Hadri kerana membunuh Altantuya Shaariibuu. – Gambar EPA, 16 Ogos, 2017.

POLIS komando Sirul Azhar Umar yang melarikan diri ke Australia memfailkan rayuan akhir kepada pihak berkuasa di sana supaya tidak menolak permohonannya mendapatkan visa perlindungan, berkata dia berdepan “ancaman nyata” dihukum bunuh jika dihantar pulang, lapor akhbar The Australian.

Peguam yang mewakili Sirul, 46, menyerahkan rayuan itu sebagai respons terhadap notis rasmi Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan Julai lalu yang mahu menolak permohonan anak guamnya. 

Menurut agensi itu, mereka bersedia menolak permohonan Sirul kerana dia melakukan kesalahan serius bukan politik sebelum masuk ke Australia.

Sirul dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas disabitkan bersalah menculik dan membunuh penterjemah warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Dia melarikan diri ke Brisbane, Australia pada Oktober 2014.

Ketika itu, dia dalam ikat jamin menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan yang sedang mempertimbangkan untuk mengembalikan sabitan bersalahnya yang dibatalkan Mahkamah Rayuan sebelum itu.

Sirul kemudian disabitkan kembali bersalah dan dijatuhi hukuman gantung pada Januari 2015 tanpa kehadirannya di mahkamah, dan beberapa hari kemudian dia ditahan pihak berkuasa imigresen Australia kerana visa tamat tempoh.

Sepanjang perbicaraan kes bunuh itu, Sirul menegaskan dia adalah kambing hitam bagi melindungi individu tertentu yang berkuasa. .

Pada Februari tahun lalu, dia merakam tiga video yang dibawa keluar dari pusat tahanan Villawood Sydney, mengatakan Perdana Menteri Najib Razak tidak ada kaitan dengan Altantuya atau pembunuhannya.

Dia juga menarik balik dakwaan sebelum ini yang Altantuya mengandung anak “individu tertentu” ketika dibunuh.

Di bawah undang-undang Australia, kerajaan negara itu berhak memberikan visa perlindungan kepada individu terpilih jika terbukti hak asasinya akan dilanggar atau berdepan hukuman bunuh di negara asalnya.

Bagaimanapun, pemohon dianggap tidak layak mendapatkan visa perlindungan dalam situasi tertentu.

Situasi itu adalah sekiranya pemohon terlibat dalam jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan, atau melakukan jenayah bukan politik yang serius sebelum memasuki Australia, atau dianggap berbahaya kepada masyarakat Australia. – 16 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen