KETUA Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki tidak mempertahankan hujahnya berhubung cadangan sayap parti itu agar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berehat apabila dibidas oleh beberapa ahli Majlis Tertinggi yang lain, kata sumber.
Isu itu juga tidak mendapat sokongan daripada ahli Majlis Tertinggi yang lain selepas Asyraf menyuarakannya walaupun perkara itu tiada dalam agenda mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi Umno, kata sumber yang hadir dalam mesyuarat semalam.
“Asyraf ada bangkitkan isu daripada Pemuda yang meminta Zahid berehat tetapi hujah itu dipatahkan beberapa ahli Majlis Tertinggi lain. Asyraf terus senyap selepas itu.
“Tak perlu cadangan tersebut sebab kita tahu ia hanya akan melemahkan parti. Dalam agenda mesyuarat semua untuk perkukuhkan parti,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Zahid dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut memaklumkan tiada mana-mana ahli Majlis Tertinggi termasuk daripada Pemuda Umno meminta beliau berehat daripada terus menjadi Presiden Umno.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata Majlis Tertinggi Umno mengambil ketetapan menolak segala usaha yang boleh membawa perpecahan parti, sama ada dari dalam mahupun luar.
“Tiada perbincangan… ada pandangan (dan) kita raikan pandangan tetapi tiada seorangpun dari Majlis Tertinggi termasuk daripada Pemuda yang minta saya bercuti.
“Cuma Pemuda menyebutkan bahawa mesyuarat exco Pemuda cuma mencadangkan untuk dipertimbangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno.
“Dalam hal ini kita harus bergerak ke hadapan untuk perkukuh parti. Perbedaan pendapat biarpun diraikan tapi diletakkan titik noktah,” kata Zahid.
Pergerakan Pemuda UMNO dalam satu mesyuarat pada 25 Oktober lalu sebulat suara mencadangkan Zahid agar bercuti sementara daripada jawatan presiden parti sehingga pertuduhan terhadapnya di mahkamah selesai.
Asyraf berkata, cadangan itu bagi membolehkan Zahid memberi tumpuan terhadap kesnya di mahkamah dan bukannya ada muslihat atau niat jahat untuk menjatuhkan Presiden Umno itu.
Zahid berdepan 45 tuduhan melibatkan pecah amanah Yayasan Akalbudi, salah guna kuasa ketika jadi Menteri Dalam Negeri dalam pentadbiran Barisan Nasional yang lepas serta mengubah wang haram. Semua pertuduhan itu melibatkan keseluruhan wang berjumlah RM114 juta.
Kerjasama politik Umno
Sementara itu, The Malaysian Insight difahamkan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam turut membincangkan soal penggabungan parti Melayu itu dengan parti-parti politik yang lain bagi membentuk kerajaan dalam masa terdekat.
“Ada dibangkitkan soal penggabungan namun Majlis Tertinggi tidak mahu membincangkan perkara itu lebih lanjut kerana yang paling penting ketika ini adalah soal pengukuhan parti itu sendiri.
“Kita tidak minat untuk berbincang mengenai penggabungan dengan mana-mana parti untuk membentuk kerajaan dalam masa terdekat,” kata Ahli Majlis Tertinggi Armand Azha Abu Hanifah.

Menurut Armand, Majlis Tertinggi berpendapat Umno tidak perlu terhegeh-hegeh berunding dengan parti lain sedangkan pada masa yang sama mereka tidak serius mengenai perkara itu.
Jelasnya, polemik penggabungan dengan parti lain juga akan menyebabkan Umno tidak dapat bergerak ke hadapan dan sekaligus menyebabkan dihina oleh parti lain.
“Cerita pasal bergabung ini kononnya hendak bawa 30 orang, 40 orang ahli parlimen Umno, selepas itu Dr. Mahathir (pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad) dan Anwar (bakal presiden PKR, Anwar Ibrahim) kutuk Umno. Kita ada harga, tidak layan.
“Umno sekarang lebih fokus untuk mengukuhkan parti kerana perlu bekerja keras ke arah PRU15,” katanya. – 10 November, 2018
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Zainal Mahfodz · Ulasan