MAJLIS Tertinggi Umno hari ini mempertahankan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno meskipun terdapat cadangan daripada sayap Pemuda yang mahu beliau berehat sehingga kes mahkamahnya selesai.
Keputusan sebulat suara itu dicapai dalam mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi yang dipengerusikan oleh Zahid di ibu pejabat Umno, petang tadi.
Zahid dalam sidang media selepas mesyuarat itu berkata perkara mengenai kedudukan beliau sebagai presiden dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Tiada perbincangan..ada pandangan (dan) kita raikan pandangan. Tetapi tiada seorangpun dari Majlis Tertinggi termasuk daripada Pemuda Umno yang minta saya bercuti.
“Cuma Pemuda menyebutkan bahawa mesyuarat exco Pemuda cuma mencadangkan untuk dipertimbangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi,” katanya.
Menurut Zahid, dalam usaha pengukuhan institusi Presiden Umno, Majlis Tertinggi memutuskan supaya segala perbezaan pendapat mengenai perkara itu harus dihentikan segera.
“Dalam hal ini kita harus bergerak ke hadapan untuk perkukuh parti. Perbedaan pendapat biarpun diraikan tapi perlu diletakkan titik noktah.
“Kita harus sama-sama terjemahkan kebersamaan di semua peringkat dan menolak sebarang usaha memecah parti dari luar dan dalam,” tegasnya.
Pemuda Umno dalam satu mesyuarat pada 25 Oktober lalu sebulat suara mencadangkan Zahid agar bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga kes pertuduhannya di mahkamah selesai.
Asyraf berkata, cadangan ini bagi membolehkan Zahid memberi tumpuan terhadap kes pertuduhannya di mahkamah dan bukannya disebabkan mempunyai sebarang sentimen atau niat jahat untuk menjatuhkan presiden Umno itu.
Zahid berdepan dengan 45 pertuduhan melibatkan 10 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan menerima suapan lebih RM42 juta, dan 27 pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram.
Kesemua pertuduhan itu melibatkan keseluruhan wang berjumlah RM114 juta, berkait dengan Yayasan Akalbudi yang beliau pengerusikan serta beberapa keputusan semasa menjadi menteri dalam negeri ketika Barisan Nasional memerintah. – 9 November, 2018.
Komen