DUA persatuan pemandu teksi mahu mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam tempoh dua minggu berhubung perkhidmatan e-hailing atau mereka akan mengadakan demonstrasi di Putrajaya.
Kesatuan Teksi Malaysia (GTSM) dan Big Blue Taxi Facilities (BBTF) memberi Loke kata dua hari ini dalam usaha mencari penyelesaian kepada kebimbangan mereka tentang perbandingan tambang dan komisen antara perkhidmatan teksi serta e-hailing.
“Kami meminta tarikh dua minggu akan datang untuk mengadakan perbincangan rasmi dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, kalau tidak, kami akan mengadakan perhimpunan di sini,” kata Presiden GTSM Kamarudin Hussain kepada pemberita selepas berlaku bantahan dan dialog dengan pegawai kementerian di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata pemandu teksi mahu kesaksamaan lebih besar antara pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing walaupun terdapat langkah Putrajaya terdapat kawal selia peraturan baru pada Julai.
Kerajaan juga cuba mendapatkan lebih banyak pemandu teksi untuk diasimilasikan kepada perkhidmatan e-hailing.
“Kami tidak percaya pemandu teksi yang diasimilasikan dengan e-hailing masih perlu terikat dengan permit mereka, dan kami meminta kementerian membekukan pendaftaran pemandu baru dalam syarikat e-hailing,” kata Kamarudin.
GTSM dan BBTF berkata ia mahu bekerjasama dengan kementerian mengenai rangka kerja undang-undang yang meliputi teksi dan perkhidmatan e-hailing.
“Kami percaya, tanpa mengira teksi atau kereta biasa, semua perkhidmatan perlu ditadbir oleh satu undang-undang yang adil dan saksama,” kata Kamarudin.
Sementara itu penasihat BBTF, Shamsubahrin Ismail berkata Loke tidak seharusnya mengelak daripada bertemu dengan kumpulan tersebut.
Beliau berkata sudah berkomunikasi dengan kementerian melalui e-mel pada 5 November tetapi diberitahu beliau tidak menggunakan saluran yang betul.
Setiausaha politik menteri, Dahlan Maamor berkata kumpulan itu tidak seharusnya mengancam mengadakan perhimpunan kerana kementerian itu tidak boleh memenuhi permintaan mengatur semula jadual Loke bagi pertemuan itu.
“Kementerian terbuka untuk bertemu dengan mereka, tetapi mereka tidak boleh mengancam mengadakan perhimpunan jika mesyuarat tidak ditetapkan dalam masa dua minggu. Terutama apabila mereka menghantar e-mel tiga hari yang lalu. Kita tidak boleh memenuhi permintaan mengubah jadual menteri, kerana Menteri Loke sekarang berada di Bangkok,” kata Dahlan. – 8 November, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh BAHARUL KALAM ZAINUN · Ulasan