SPRM bersihkan Musa Aman, bukan saya, kata Nazri Aziz


Christopher Rabin

Nazri Azis mengulas dakwaan Musa Aman bahawa beliau membersihkan nama bekas ketua menteri Sabah itu atas pertuduhan rasuah pada 2012. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2018.

BEKAS menteri Kabinet Nazri Aziz hari ini menepis dakwaan kononnya beliau ‘membersihkan’ bekas ketua menteri Sabah Musa Aman atas dakwaan rasuah pada 2012.

Selepas dikenakan 35 dakwaan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, Musa memaklumkan beliau terkejut dengan pertuduhan yang dihadapinya sedangkan namanya sudah dibersihkan di Parlimen pada 10 hingga 14 tahun lalu.

“Kenapa (ia menjadi isu) sekali lagi? Dakwaan ini sudah dibersihkan oleh menteri ketika itu di Parlimen, Nazri Aziz,” kata Musa.

Nazri, bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight hari ini bahawa Suruhajaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang membersihkan tuduhan ke atas Musa.

“Ia adalah SPRM, bukannya saya,” kata Nazri sambil menambah bahawa semua kenyataan yang dibuat di dalam atau luar Parlimen berhubung pertuduhan rasuah ketika itu diluluskan oleh SPRM.

“Saya tidak boleh membuat kenyataan peribadi kerana SPRM merupakan badan bebas.

“Sebagai menteri, saya tidak boleh campur tangan dengan keputusan SPRM. Kenyataan saya adalah berdasarkan kepada perkara yang mereka mahu saya umumkan,” katanya. 

Nazri yang merupakan menteri hal ehwal undang-undang pada 2012, memaklumkan Parlimen bahawa Jabatan Peguam Negara tidak menemukan sebarang unsur-unsur rasuah yang dibangkitkan oleh SPRM pada masa itu.

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman diheret ke mahkamah semalam untuk berdepan 35 pertuduhan rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2018.

“Musa tidak perlu menyebut nama saya kerana saya tidak mempunyai kuasa ke atas sebuah badan bebas. Adalah salah baginya untuk menyebut nama saya kerana ketika itu saya hanya merupakan seorang menteri,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan Musa telah didakwa di mahkamah, ia akan menjadi sub judis, dan beliau boleh ditahan kerana menghina mahkamah jika terus mengeluarkan kenyataan berhubung kes itu.

Musa didakwa dengan 35 pertuduhan rasuah melibatkan RM243 juta ketika memberikan kontrak pembalakan kepada lebih 15 syarikat antara 2004 dan 2008.

Pada Mei tahun ini, DAP Sabah membuat laporan polis ke atas Musa berhubung dakwaan rasuah itu yang melibatkan konsesi pembalakan.

Laporan itu dibuat susulan mesej tular dalam media sosial membabitkan 81 kesalahan rasuah oleh Musa dan senarai suspek lain. – 6 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen