Musa Aman didakwa kes rasuah hari ini


Alfian Z.M. Tahir

Musa Aman dijangka berdepan 35 pertuduhan rasuah membabitkan jumlah besar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, kata SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2018.

MUSA Aman dijangka berdepan 35 pertuduhan rasuah membabitkan “jumlah yang sangat besar” di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas ketua menteri Sabah itu yang juga Adun Sungai Sibuga dijangka didakwa atas beberapa kes membabitkan konsesi balak di Sabah.

Sumber SPRM mengesahkan Musa akan didakwa hari ini, menambah beliau dipanggil ke ibu pejabat agensi anti rasuah itu di Putrajaya awal hari ini. 

Menurut sumber itu, Musa ditahan selepas hadir di ibu pejabat SPRM pagi tadi.

Beliau akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dijangka akan didakwa dengan 23 tuduhan rasuah melibatkan AS$63 juta (RM250 juta) yang dimasukkan ke dalam akaun bank Singapura dan Hong Kongnya.

Musa juga akan berada di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi kes tuntutan jawatan ketua menteri Sabah susulan pelantikan Mohd Shafie Apdal.

Musa dilantik sebagai ketua menteri pada 10 Mei manakala Shafie pada 12 Mei yang dsifatkan rakyat Sabah sebagai krisis Perlembagaan.

Selepas pilihan raya 9 Mei, persidangan DUN digantung apabila BN dan Warisan masing-masing terikat pada 29 kerusi, menyebabkan Parti Solidariti Tanah Airku menjadi ‘king maker’.

Pada 10 Mei, Solidariti yang dipimpin oleh Jeffrey Kitingan menyertai BN, namun tidak sampai 48 jam, Shafie dilantik sebagai Ketua Menteri susulan lima Adun dari Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu dan beberapa pembelot Umno melompat parti.

Ini memberi majoriti kepada Warisan yang dipimpin oleh Shafie dan seterusnya membentuk kerajaan Warisan-PH-Upko pada 12 Mei.

Shafie kemudian melancarkan siasatan dalaman bersama SPRM terhadap perjanjian kayu balak antara kerajaan BN Sabah yang dipimpin oleh Musa.  – 5 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen