Lompat parti boleh rosakkan Pakatan, pembangkang dan demokrasi


Mustafa K. Anuar

Rakyat Malaysian mengundi PH dengan pemahaman dan keyakinan bersama bahawa pakatan itu akan membebaskan negara daripada kemelut kewangan dan politik serta ketidakadilan yang dikaitkan dengan pentadbiran BN sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2018.

LOMPAT parti, secara konsep dan amalannya, dipopularkan oleh bekas ahli Parlimen Ibrahim Ali pada suatu masa sebelum ini kerana kekerapan “politik salin kulitnya” sehingga beliau digelar “Si Katak”.

Tetapi lompat parti dalam politik Malaysia bukan hanya dilakukan oleh Ibrahim seperti yang terlihat dibuat oleh beberapa ahli politik lain. Malah, pada suatu masa sejumlah besar ahli Parlimen Barisan Nasional (yang dilarikan ke Taiwan) dirayu oleh pembangkang untuk melompat bagi tujuan mengalihkan kekuasaan.

Lajak ke depan, politik Malaysia sekarang juga terpengaruh dengan amalan politik yang merosakkan ini. Malah, lompat parti jadi perhatian apabila ahli politik mula meninggalkan BN yang kalah pilihan raya, terutamanya Umno Baru, dan memilih untuk bersama komponen tertentu dalam Pakatan Harapan iaitu Bersatu.

Baru-baru ini, ada desas-desus 40 ahli Parlimen Umno Baru akan melompat ke Bersatu, khabar angin yang cukup untuk menggegarkan parti komponen PH terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang dipimpin bakal perdana menteri Anwar Ibrahim. Langkah itu tentunya akan mengukuhkan Bersatu di parlimen serta kedudukan politiknya dalam PH.

Khabar angin tentang lompat parti ini juga mengganggu kumpulan masyarakat sivil terutamanya selepas Presiden Umno Baru Ahmad Zahid Hamidi mendakwa ada usaha membubarkan partinya untuk memaksa wakil rakyatnya menyertai Bersatu.

Sama ada khabar angin atau dakwaan itu betul, lompat parti seperti ini sesungguhnya membimbangkan banyak rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang mengundi demi perubahan dalam pilihan raya umum yang lalu.

Rakyat Malaysian mengundi PH dengan pemahaman dan keyakinan bersama bahawa pakatan itu akan membebaskan negara daripada kemelut kewangan dan politik serta ketidakadilan yang dikaitkan dengan pentadbiran BN sebelum ini.

Pendek kata, mereka hanya mahu meninggalkan semua perkara buruk yang diwakili oleh BN – dan meneruskan hidup dengan bab baru yang lebih bersih.

Dalam fikiran pengundi, akibat daripada lompat parti besar-besaran ini, PH akan bertukar jadi BN 2.0, terutamanya dengan kemasukan ahli politik yang sebelum ini terbiasa mengaut untung.

Sebenarnya, bertukar parti adalah sebahagian daripada kebebasan berpersatuan dan kerana itu, ia perlakuan yang dibenarkan terutama apabila dilakukan atas asas prinsip tertentu dan integriti.

Oleh itu, adalah lebih wajar, malah mulia, sekiranya ahli parlimen dan ahli politik BN melompat ke PH ketika misalnya skandal 1MDB sedang terbongkar dan terutamanya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 kerana kontroversi kewangan itu terlalu menjijikkan mereka.

Tetapi untuk lompat parti sekarang hanya mengundang syak wasangka dan ejekan kerana ia boleh dianggap sebagai tikus terjun tinggalkan kapal yang tenggelam.

Lebih buruk lagi sekiranya dakwaan lompat parti besar-besaran itu bertujuan untuk melemahkan, kalau pun tidak menghancurkan, Umno Baru dan seterusnya mengukuhkan Bersatu dalam PH. Langkah licik ala Machiavelli ini tidak sepatutnya dimulakan dalam apa yang disebut “Malaysia Baru”.

PH, terutamanya Bersatu, sepatutnya mencari muka baru dalam usaha mengukuhkan parti itu dari segi politik – dan bukannya muka lama yang kebanyakannya terpalit DNA rasuah.

Bagi pihak pembangkang, terutamanya Umno Baru, mereka harus menunjukkan hala tuju baru yang memberikan harapan dan sebab yang wajar untuk ahli-ahlinya kekal setia dan seterusnya bangkit semula.

Menghidupkan semula pembangkang sangat mustahak sekiranya demokrasi mahu kekal bertenaga di negara yang baru saja menikmati fajar baru.

Pembangkang yang dikembiri hanya akan mengundang autoritarianisme kerana mekanisme semak dan imbang akan jadi lemah. Sekiranya itu berlaku, tiada sesiapa yang untung melainkan rejim yang berkuasa.

Undang-undang anti lompat disebut-sebut sebagai penyelesaian kepada masalah ini. Tetapi, ia juga membangkitkan beberapa persoalan.

Secara umumnya, sekiranya nurani seorang ahli parlimen (yang hari ini sesuatu yang langka) mengatakan beliau harus tinggalkan parti kerana tidak lagi boleh bersetuju dengan pandangan atau ideologi partinya sekarang, bukankah ahli politik itu mesti meninggalkan partinya?

Lebih-lebih lagi, ahli politik yang melompat parti boleh berhujah beliau hanya tunduk pada kehendak pengundinya atau atas alasan “kemaslahatan umum”, iaitu meninggal parti yang dianggap sudah terpesong jalan politiknya. Wajarkah beliau meninggalkan partinya?

Menghalang seorang ahli Parlimen daripada meninggalkan parti boleh menjadikan beliau duri dalam daging yang akan memberikan kesan kepada kedua-duanya baik dari segi jangka masa pertengahan mahupun panjang. Wajarkah begitu?

Dalam keadaan seperti itu, PH harus cermat apabila menerima ahli baru – dan tidak terlalu bersikap sambil lewa seolah-olah seperti langkah kerajaan Perak yang mempermudahkan urusan untuk berpoligami.

Apatah lagi, sekiranya menyertai PH sebenarnya langkah yang dikatakan untuk mengelak daripada disiasat berhubung kes rasuah, ia mencemarkan reputasi ahli politik pembangkang berkenaan serta imej PH. PH tidak harus jadi perkakas untuk melindung diri daripada siasatan rasuah.

Apapun jalan yang diambil oleh PH dalam isu lompat parti, apa yang jelas ialah rakyat yang dahagakan perubahan sebenar tidak mahu melihat beban masa lalu muncul semula pada masa akan datang. – 2 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen