Kotak hitam pesawat Lion Air JT610 ditemui


Pasukan penyelam bersiap sedia mencari bangkai pesawat Lion Air penerbangan JT 610 yang terhempas di Laut Jawa Isnin lalu. – Gambar EPA, 1 November, 2018.

KOTAK hitam pesawat Lion Air penerbangan JT 610 berjaya ditemui hari ini di perairan Karawang, Jawa Barat kira-kira jam 10 pagi tadi, lapor media Indonesia.

Kompas.com melaporkan kotak hitam daripada pesawat yang terhempas di Laut Jawa pada Isnin lalu ditemui oleh salah seorang daripada pasukan penyelam tentera laut Indonesia, di kedalaman kira-kira 30 meter.

Penyelam yang dikenali dengan nama Hendra dalam temu bualnya dengan Metro TV berkata, kotak hitam itu berwarna jingga dalam keadaan baik dan ditemui di celah-celah serpihan pesawat.

“Kami gali dan dapat kotak hitam itu,” katanya selepas berjaya membawanya naik ke kapal Baruna Jaya.

Bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada ia perakam data penerbangan atau perakam suara kokpit.

Pesawat Boeing-737 MAX itu terhempas pada 29 Oktober, kira-kira 13 minit selepas berlepas dari Jakarta menuju ke Pangkal Pinang di pulau Bangka, bagi perjalanan yang mengambil masa sejam. – 1 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen