Pesawat Lion Air terhempas di laut


Pesawat Lion Air JT 610 terputus hubungan dengan pusat kawalan lalu lintas udara pada 6.30 pagi (2330 GMT), kira-kira 13 minit selepas berlepas, menuju ke Pangkal Pinang di kepulauan Bangka di pesisir pulau Sumatra. – Gambar EPA, 29 Oktober, 2018.

SATU pesawat penumpang Lion Air Indonesia disahkan terhempas pada Isnin di Laut Jawa sejurus setelah berlepas dari bandar raya Jakarta, lapor agensi berita yang memetik kenyataan pihak berkuasa negara itu.

“Disahkan bahawa ia telah terhempas,” kata  jurucakap pasukan penyelamat Indonesia, Yusuf Latif seperti dilaporkan Reuters.

Menurut AFP pula, pesawat yang membawa 188 anak kapal dan penumpang itu terputus hubungan dengan pusat kawalan lalu lintas udara pada 6.30 pagi (2330 GMT), kira-kira 13 minit selepas berlepas, menuju ke Pangkal Pinang di kepulauan Bangka di pesisir pulau Sumatra.

“Memang benar Lion Air JT 610 terputus hubungan. Kami sudah menyerahkan maklumat untuk mencari dan menyelamat,” kata jurucakap AirNav Indonesia, John Harry Douglas dalam satu kenyataan sebagaimana dilaporkan.

Semakan di laman Flightradar menunjukkan pesawat itu menuju ke selatan pada waktu berlepas dan kemudian ke utara sebelum laluan penerbangan berakhir dengan tiba-tiba di Laut Jawa, tidak jauh dari pantai.

Pesawat Boeing 737 MAX itu dibina pada tahun ini dan dilaporkan hanya mula digunakan sejak dua bulan lalu, lapor portal Tempo.

Laporan Reuters menyebut, ini merupakan kemalangan pertama melibatkan pesawat Boeing 737 MAX, satu model hemat tenaga yang mula diperkenal pada tahun lalu.

Indonesia sangat bergantung kepada pengangkutan udara untuk menghubungkan ribuan pulaunya tetapi mempunyai rekod keselamatan penerbangan yang buruk dan mengalami beberapa kemalangan maut beberapa tahun kebelakangan ini.

Seorang remaja lelaki berusia 12 tahun merupakan satu-satunya mangsa terselamat dalam nahas kapal terbang yang mengorbankan lapan nyawa di kawasan pergunungan di Indonesia pada Ogos.

Pada Ogos 2015, sebuah pesawat penumpang komersial yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Indonesia Trigana terhempas di Papua akibat cuaca buruk, membunuh kesemua 54 orang yang berada di atas kapal. – 29 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen