Zahid Hamidi kecam keganasan di forum


Melati A. Jalil

Kekecohan forum “Nothing to Hide 2.0” semalam tidak wajar berlaku dalam negara demokratik dan isu itu akan disiasat polis, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2017.

KEGANASAN tidak sepatutnya ditujukan kepada mana-mana pemimpin atau individu, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini, mengecam kekecohan yang berlaku pada forum “Nothing to Hide 2.0” semalam.

Zahid berkata kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang demokratik. Semalam, tiga pemuda ditangkap selepas melempar kerusi dan kasut serta membakar suar ketika Dr Mahathir Mohamad sedang berucap di forum yang diadakan di Shah Alam itu.

“Walaupun kita mempunyai pendapat berbeza, tiada keganasan patut dilakukan ke atas mana-mana individu atau pemimpin,” kata menteri dalam negeri itu kepada wartawan di Kuala Lumpur hari ini.

“Saya akan mengarahkan polis untuk menyiasat kejadian itu dan mengambil tindakan sewajarnya,” tambahnya.

Tetapi Zahid menafikan mengetahui penglibatan ahli Umno dalam serangan yang didakwa mensasarkan Dr Mahathir yang merupakan pengkritik paling lantang pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.

“Saya tidak tahu. Kita akan lakukan siasatan menggunakan polis.

“Kita perlu minta polis siasat dan biarkan polis bagaimana siasatan itu dilakukan,” katanya apabila ditanya mengenai adakah identiti mereka yang mencetuskan kekecohan itu sudah dikenalpasti.

Kejadian itu memaksa penganjur membawa Dr Mahathir dan beberapa orang VIP keluar dewan serta merta.

Forum itu dianjurkan Pemuda Bersatu sebagai satu platform untuk bekas perdana menteri itu dan Najib berdebat isu yang menyelubungi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semalam, polis menahan tiga suspek yang mencetuskan kekecohan pada berumur antara 17 hingga 19 tahun dan dua daripadanya pelajar kolej di Selangor.

Forum itu dihadiri lebih 2,000 orang.

Dr Mahathir bercakap mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad sebelum menjawab soalan daripada peserta.

Hadir sama ialah isterinya Siti Hasmah Mohamad Ali, Presiden Bersatu Muhiyddin Yassin, bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir, Naib Presiden Perkasa Abdul Rashid Abdul Rahman, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, veteran DAP Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. – 14 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen