RoS hanya jalankan tugas, kata Muhyiddin kepada Umno


Yasmin Ramlan

Sekiranya berlaku perkara tak ikut peraturan, RoS akan buat tugas dia, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2018.

MENTERI Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hanya menjalankan tugas ketika meminta surat tunjuk sebab dari Umno. 

Jelas Muhyiddin, setakat ini beliau tidak mendapat sebarang maklumat daripada RoS mengenai perkara itu.

“Saya pun tak dapat maklumat daripada RoS. Saya tak tahu tujuan itu. Isu pentadbiran, RoS yang bertanggungjawab.

“Sekiranya berlaku perkara tak ikut peraturan, RoS akan buat tugas dia.

“Dulu kami (Bersatu) pun terima surat, hampir-hampir dibubar masa RoS lama,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam akhbar Sinar Harian melaporkan, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata ahli juga perlu bertanggungjawab sekiranya parti itu diharamkan kerana tidak mengadakan mesyuarat cawangan tahunan.

Jelasnya, RoS meminta 21,000 cawangan untuk bermesyuarat bagi tahun 2018 tetapi hanya 19,000 cawangan sahaja mengadakannya.

Sebelum Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, pentadbiran di bawah Barisan Nasional didakwa sengaja membatalkan pendaftaran Bersatu sebagai tekanan kepada parti serpihan Umno itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).  

RoS berterusan memberi tekanan berhubung pembatalan pendaftaran itu walaupun pemimpin kanan Bersatu dikatakan mematuhi perlembagaan parti dan akta pertubuhan. – 30 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen