Ahli juga bersalah jika Umno diharamkan, kata Zahid


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata RoS minta 21,000 cawangan untuk bermesyuarat bagi 2018 tetapi hanya 19,000 cawangan mengadakannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2018.

AHLI Umno juga perlu bertanggungjawab sekirnya parti itu diharamkan kerana tidak mengadakan mesyuarat cawangan tahunan, kata presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meminta 21,000 cawangan untuk bermesyuarat bagi tahun 2018 tetapi 19,000 cawangan sahaja mengadakannya, kata seperti dilaporkan Sinar Harian.

“Seharusnya 19,000 cawangan hantar Borang 9 ke bahagian dan dan dihantar ke perhubungan negeri sebelum ke pusat. Yang sampai kira-kira 8,000 sahaja.

“RoS guna alasan ini untuk mengharamkan dan surat tunjuk sebab telah kita terima. Kalau kita mahu salahkan RoS 100%, bagaimana kesalahan kita lakukan?” kata Zahid.

Beliau dilaporkan berkata demikian dalam ucapan semasa penutup program pemukiman Pemuda Umno di Janda Baik, semalam.

Dalam ucapan sama, beliau turut menegaskan kepada Pemuda Umno bahawa parti itu berdepan masalah kewangan kerana semua dana yang dalam akaun parti dibekukan. 

“Semua dana yang didepositkan ke akaun Umno dibekukan 100%. RM116.7 juta yang dirampas dibawah AMLA (Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram) masih lagi dibekukan.

“Tidak ada akaun lain yang boleh membiayai aktiviti ibu pejabat, perhubungan dan bahagian-bahagian, apatah lagi di peringkat sayap kerana kita tidak ada dana. Itu hakikatnya,” jelas beliau.

Malah, Zahid berkata parti itu juga menghadapi masalah membayar gaji pegawai dan kakitangan parti hingga terpaksa meminjam. 

“Kita terpaksa kurangkan sehingga 40% jumlah kakitangan kerana kita tidak mampu dan bayaran gaji pun kurang 40%. Gambaran diberikan seolah-olah aset Umno berbilion,” tambahnya. – 29 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen