KETUA Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengulangi pendirian agar Ahmad Zahid Hamidi berehat daripada jawatan presiden parti sewaktu ucapan di pemukiman sayap parti tersebut Ahad lalu.
Gesaan itu diulanginya di hadapan Zahid yang turut hadir dalam pemukiman tersebut di Janda Baik demi rasa sayang terhadap parti dan institusi presiden.
“Kita menegur kerana kita menyayangi institusi presiden. Pemuda memberikan pandangan kerana kita sayang presiden.
“Kita tidak akan sesekali mengkhianati beliau sebagai presiden apatah lagi berlaku khianat dan biadap terhadap orang yang kita anggap ayahanda kita.
“Kita bukan hendak meruntuhkan rumah atau membocorkan bahtera. Kita janji kita tidak akan membenarkan bahtera (parti) ini tenggelam dan kita juga akan pastikan ianya akan terus berlayar,” kata Asyraf.
Beliau berucap di hadapan seramai 326 orang ketua dan naib ketua Pemuda Umno bahagian di majlis penutup yang turut dihadiri Ketua Penerangan Umno Shamsul Anuar Nasarah.
Dalam ucapan itu, Asyraf menegaskan semula keputusan mesyuarat Pemuda Umno pada 25 Oktober agar Zahid agar bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga pertuduhan ke atasnya selesai dibicarakan di mahkamah.
Asyraf berkata, cadangan itu tidak mengandungi sebarang sentimen atau niat jahat untuk menjatuhkan presiden Umno tetapi sebaliknya bagi membolehkan Zahid menumpukan pada kes yang dihadapi di mahkamah.
Zahid berhadapan dengan 45 pertuduhan melibatkan 10 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan menerima suapan lebih RM42 juta, dan 27 pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram.
Kesemua pertuduhan itu melibatkan keseluruhan wang berjumlah RM114 juta, berkait dengan Yayasan Akal Budi yang dipengerusikan Zahid serta beberapa keputusan semasa menjadi menteri dalam negeri ketika pentadbiran Barisan Nasional.
Menurut Asyraf, tindakan pergerakan Pemuda ini selari dengan inspirasi Pemuda yang dibawa oleh Zahid dahulu uang lantang mendesak kepimpinan Umno meletak jawatan apabila berdepan dengan tuduhan salah laku.
“Sudah tentu kita semua harus menginspirasikan model kepemudaan sejak zaman presiden. Beliau cukup lantang ketika menjadi ketua pergerakan Pemuda.
“Bahkan sebelum menjadi ketua pergerakan Pemuda pun dari segi sejarahnya, beliaulah orang yang paling lantang meminta ketua Pemuda suatu ketika dahulu Rahim Thamby Chik untuk meletakkan jawatan kerana didakwa terlibat dengan salah laku,” kata Asyraf.
Ucapannya itu disambut dengan sorakan “betul” daripada anak buahnya.

Malah kata Asyraf, Zahid merupakan individu yang memperkenalkan istilah “korupsi, kronisme dan nepotisme” sewaktu mengkritik Dr Mahathir Mohamad, presiden Umno ketika itu,.
“Bila menjadi ketua Pemuda sendiri, beliau meneruskan idealisme dan semangat Pemuda. Beliaulah orang pertama yang mendedahkan KKN (korupsi kronime dan nepotisme).
“Beliau begitu berani mengkritik kepimpinan presiden Umno waktu itu, Dr Mahathir. Menggegarkan seluruh negara. Inilah jiwa Pemuda,” katanya.
Bagaimanapun, kata Asyraf, beliau kecewa apabila ketetapan Pemuda Umno yang diambil secara berhemah dikeruhkan dengan kenyataan pemimpin tertentu yang cuba mengapi-apikan keadaan.
“Apabila kita memberikan pandangan, kita menjaga bahasa kita cuma yang tidak tahan orang yang mengapi-apikan, yang cuba menghasut.
“Orang ini sebenarnya tidak memahami jiwa dan naluri presiden kerana presiden orang yang berjiwa besar dan meraikan kepelbagaian. Sebab itu biar apa yang berlaku, beliau hadir pada hari ini,” ujarnya.
Zahid kemudian dalam ucapan penutupnya mengambil kesempatan untuk memberikan penjelasan kepada kepimpinan Pemuda Umno berhubung kes yang sedang beliau hadapi.
Kata Zahid, beliau akan merasa seronok sekiranya ketua Pemuda, Wanita dan Puteri dapat menjadikan pergerakan masing-masing sebagai pergerakan yang mendukung seluruh institusi kepimpinan Umno dan presiden.
“Tetapi situasi ini berubah kerana kita menjadi pembangkang. Saya mengambil peluang dalam program penutup ini bukan untuk menjadikan dewan ini sebagai mahkamah untuk pembelaan diri saya, tidak.
“Saya minta saudara-saudara bukalah minda, bukalah hati saya akan memberikan penjelasan.
“Selepas itu saudara-saudara fikirkanlah. Kalau sebelum saya didapati bersalah pun di mahkamah, tetapi saudara-saudara fikirkan apa yang telah saya lakukan itu salah, saya bersedia bukan sahaja bercuti, malah saya letak jawatan sebagai presiden Umno,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan, beliau tidak terlibat dalam penyelewengan pecah mana seperti yang didakwa kerana dana-dana tersebut digunakan untuk amal jariah.
“Saya reda jika amal jariah saya itu dituduh sebagai rasuah dan pecah amanah,” katanya. – 30 Oktober, 2018.
Komen