Siapa lebih diktator, saya atau Dr Mahathir, soal Najib


Perdana Menteri Najib Razak berkata langkah membuka pemilihan presiden Umno kepada lebih 165,000 ahlinya pada 2013 merupakan bukti nyata Umno bukan miliknya seorang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2017.

LANGKAH membuka pemilihan presiden Umno kepada lebih 165,000 ahlinya pada 2013 merupakan bukti nyata Umno bukan miliknya seorang berbeza dengan zaman kepimpinan Dr Mahathir Mohamad, kata Perdana Menteri Najib Razak.

Beliau yang juga presiden Umno berkata pada zaman kepimpinan Dr Mahathir, bekas perdana menteri itu menggunakan mekanisme undi kuota dan undi bonus setiap kali tiba pemilihan parti untuk kekal berkuasa.

“Masa saya jadi presiden Umno, saya mansuhkan (undi kuota dan undi bonus) malah nasib saya, saya serahkan kepada lebih 165,000 ahli Umno seluruh negara serentak yang mana lebih 165,000 ahli Umno ini tidak boleh dibeli sesuka hati.

“Akhirnya saya menang tanpa bertanding, (membuktikan) Umno sokong secara terbuka kepimpinan saya, bukti Umno bukan milik saya tetapi milik semua ahlinya,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah, Melaka hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Idris Haron; Setiausaha Kerja Umno Ab Rauf Yusoh yang juga ketua Umno Bahagian Masjid Tanah; dan kira-kira 5,000 perwakilan Umno bahagian itu.

Umno menjadi lebih terbuka, demokratik dan inklusif apabila pindaan perlembagaan parti diluluskan pada 2009 yang antara lain meningkatkan jumlah perwakilan untuk pemilihan jawatan tertinggi parti dan jawatan peringkat bahagian selain menghapuskan sistem kuota dalam pemilihan parti.

Najib berkata Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan presiden Umno bukan kerana beliau seorang pemimpin yang popular, sebaliknya kerana tindakannya “mengunci” kepimpinan tertinggi parti dengan undi kuota dan undi bonus.

“Pada pemilihan Umno 1987, dia (Dr Mahathir) bertanding melawan Tengku Razaleigh (Hamzah), dia menang dengan 43 undi saja, walaupun saya rapat dengan Tengku Razaleigh tetapi saya letak prinsip wala’ (kesetiaan).

“Masa itu, saya ketua Pemuda Umno dan Tun M (Dr Mahathir) ketua saya maka saya wajib sokong Tun M, saya tampil kepada semua nyatakan sokongan saya. Tetapi apa dia buat - dia kunci kepimpinan tertinggi dengan undi kuota dan undi bonus,” katanya.

Najib berkata sebagai presiden Umno, beliau membuat pelbagai keputusan secara rundingan bersama dengan Zahid serta pemimpin Umno yang lain dan hasil daripada langkah itu hari ini, Umno menjadi sebuah parti yang lebih terbuka.

“Siapa yang lebih diktator dalam parti. Umno bukan saya punya malah lebih terbuka hari ini daripada masa lalu, saya cuma pemimpin yang jadi pemimpin kerana sokongan daripada ahli Umno,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata beliau tidak perlu menoleh ke belakang apabila melaksanakan tugasnya sebagai perdana menteri kerana meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Zahid.

Beliau berkata hubungan rapat yang dijalin dengan Zahid bukan sehari dua sebaliknya bermula sejak 1986 lagi dan ramai yang tidak mengetahui apa yang dilalui mereka berdua.

“Tiada orang tahu berapa kali kami pergi kursus bersama duduk dalam sebuah dormitori bersama, tiada orang tahu susah senang Zahid di Bagan Datoh yang mana saya sebagai ketua Pemuda Umno dulu saya beranikan diri berkempen untuk Zahid.

“Bila ada percubaan nak goncang keyakinan saya dengan Zahid, saya ulangi keyakinan saya kepada Zahid, supaya tidak boleh dipertikai oleh sesiapa,” katanya.

Beliau berkata hubungan tidak formal yang merujuk kepada hubungan erat terjalin antara individu di luar daripada hubungan formal dalam parti atau organisasi tertentu akan membolehkan mereka yang terlibat bertahan lama dalam politik. – Bernama, 13 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen