Aktivis berdepan cabaran, sikap tidak peduli dan halangan bahasa


Mustafa K. Anuar

Masalah kekangan bahasa turut menjadi faktor yang menyukarkan perbincangan dibuat berhubung isu alam sekitar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2018

KELOMPOK masyarakat sivil berada di tengah-tengah cabaran dalam usaha untuk menyebarkan mesej mereka yang menentang naratif negeri berkenaan dengan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dan pengertian pembangunan untuk negeri Pulau Pinang.

Ahli Penang Forum, Anil Netto bersama pelbagai organisasi bukan kerajaan di negeri ini berkata, ramai orang di Pulau Pinang tahu tentang PTMP, tetapi tidak dalam perincian atau mengenai kesan sosial dan persekitaran pelan sedemikian.

Sebenarnya, katanya, ada yang berpendapat bahawa ia adalah sedikit harga yang perlu dibayar untuk kemudahan sistem lebuh raya efisien yang akan ditawarkannya.

“Keinginan sedemikian untuk janji lebuh raya tanpa kesesakan mengatasi pertimbangan alam sekitar.

“Dan mereka mungkin tidak menyedari sepenuhnya bahawa lebuh raya yang dirancang itu akan kembali kepada asal selepas lima tahun ia siap dibina apabila kesesakan lalu lintas sekali lagi menjadi lebih teruk.”

Anil, yang juga bendahari kumpulan masyarakat sivil Aliran, mengingatkan masyarakat untuk mengambil iktibar daripada Lebuh Raya Lim Cheong Eu yang mengalami kesesakan teruk ketika aliran trafik menghampiri kawasan Weld Quay, terutamanya ketika waktu puncak.

Ini berlaku selepas tujuh tahun lebuh raya sepanjang 4.7 km itu siap.

Itu merupakan cabaran yang dihadapi Penang Forum dalam meningkatkan kesedaran awam berhubung kontroversi yang menyelubungi PTMP.

Aktivis warisan Khoo Salma Nasution, yang juga penyokong Penang Forum berkata, kolektif sudah menjalankan beberapa perbincangan dengan beberapa kumpulan fokus terutamanya dengan persatuan penduduk.

Selain sumber yang terhad untuk mengadakannya, perbincangan yang dijalankan dalam bahasa Inggeris turut memberi kesan kepada mereka yang tidak bertutur dalam bahasa itu.

Terdapat beberapa perbincangan dijalankan dalam bahasa Melayu dan Mandarin, tetapi ia hanya sedikit, tambahnya.

Tragedi tanah runtuh Bukit Kukus yang mengorbankan sembilan nyawa pekerja asing.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2018

Selain itu katanya, “alam sekitar merupakan isu yang sukar untuk mendapat perhatian kebanyakan masyarakat di Pulau Pinang.”

“Segelintir pihak hanya mengambil perhatian dengan isu kontroversi ini hanya dan apabila lebuh raya yang dirancang dibimbangi memberi kesan kepada kediaman mereka.”

Walaupun isu alam sekitar sukar untuk diberi perhatian terutama kepada generasi muda, beliau tetap merasakan bahawa ia perlu dibangkitkan secara berterusan kerana ia bukan sahaja melibatkan generasi sekarang tetapi juga masa depan.

Bagaimanapun, Anil memberi jaminan, terdapat peningkatan jumlah orang yang bimbang mengenai pembangunan cerun bukit, terutamanya selepas tragedi Granito dan Bukit Kukus yang sedia maklum kepada orang ramai.

“Penang Forum menjangkau masyarakat umum melalui beberapa cara, salah satunya adalah mengeluarkan kenyataan akhbar serta mengadakan persidangan akhbar.

“Mesej kolektif biasanya diambil oleh media, baik cetak dan online, terutama sekali sekarang mereka mengalami tahap kebebasan akhbar yang agak tinggi tidak lama selepas Pakatan Harapan merebut kuasa dari Barisan Nasional.”

Beliau merasakan keadaan politik yang baru itu memberi ruang kepada pandangan yang kritikal dan menentang khususnya dalam media.

Untuk memperluas jangkauannya, Penang Forum juga menyiarkan kenyataannya di laman webnya untuk kemudahan rakyat biasa. Selain itu, ahli kolektifnya, Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Penang Heritage Trust, Sahabat Alam Malaysia dan Aliran, menyiarkan kenyataan dan berita berkaitan di laman web masing-masing.

Pada Oktober 2016, Forum Pulau Pinang melancarkan inisiatif Penang Hills Watch (PHW) yang melibatkan rakyat untuk membantu memantau aktiviti pembersihan bukit di Pulau Pinang.

PHW mengakui mendapat maklumat pemetaan dari orang awam melalui laman Facebook, laman web, e-mel dan WhatsApp hotline.

Anil menegaskan bahawa bantahan terhadap Pan-Island Link 1 (PIL1) yang kontroversi bukanlah satu daripada kumpulan yang terpinggir.

Beliau berkata petisyen yang menentang PIL1 dan menggesa supaya dikaji semula berjaya mengumpulkan lebih daripada 17,000 tandatangan. Ini, katanya, mencerminkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Pulau Pinang, terutamanya selepas kematian sembilan pekerja asing dalam tragedi Bukit Kukus. – 29 Oktober, 2018
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen