Nasib aktivis dan pahlawan kesiangan era Pakatan


Awang Azman Awang Pawi

SYED Husin Ali aktivis politik berdekad lama. Mantan profesor antropologi Universiti Malaya (UM) ini telah lama menyumbang dalam gerakan aktivis sejak era Parti Rakyat Malaysia lagi. Semua orang tahu, idealisme perjuangan Syed Husin sangat ampuh. Ramai juga tahu sekiranya beliau berkompromi dengan BN, sudah lama beliau mendapat nikmat dan kemewahan di bawah kerajaan dahulu.

Namun sosok bersuara halus tapi tegas ini tetap memilih berjuang bersama rakyat atas kepentingan menyuarakan isu-isu rakyat seperti kemiskinan, ketidakadilan, isu setinggan dan rasuah, politik wang dan sebagainya. Kegiatan sebagai aktivis politik mengakibatkan beliau ditekan sehingga meletak jawatan sebagai profesor di UM.

Apabila aktivis ini memuatkan kenyataan kebimbangan masa depan aktivis Pakatan Harapan (PH) di Twitter bermakna isu ini sangat serius. Kenyataan tersebut ialah suara dan naluri ikhlas seorang aktivis rakyat yang berjuang tanpa noktah. Syed Husin telah berusia lanjut, tidak ada kepentingan diri sendiri untuk diketengahkan selain daripada idealisme perjuangan!

Ketika era BN, beliau pernah menegur Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) agar tidak bersikap menikus dalam menyatakan pandangan kerana bimbang akan melukakan perasaan kerajaan. Beliau juga mengkritik ilmuwan yang kurang berhubung dengan masyarakat dan menahan diri daripada memberikan analisis kritikal yang menggambarkan ketakutan psikologi.

Sebagai orang setia terhadap perjuangan beliau berani mengatakan perkara yang benar. Beliau pernah menegur ketidakseimbangan dalam pelantikan Kabinet, apabila PKR di Johor menang tujuh kerusi Parlimen, namun tidak seorang pun dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri. Yang ada diberikan kepada PKR Johor ialah jawatan timbalan speaker.

Beliau sanggup berkorban apabila Parti Rakyat Malaysia (PRM) pimpinannya bergabung dengan PKR dan sanggup jadi timbalan presiden walaupun beliau ialah orang yang sangat lama dalam perjuangan politik. Sebelum itu, beliau menjadi presiden PRM semalam 13 tahun. Hasil gabungan tersebut beliau tidak mendapat apa-apa kecuali jawatan senator dan pelantikan sebagai timbalan presiden PKR.

Hidup beliau sangat secara sederhana, berilmu tinggi, merendah diri dan sering dilihat bercapal dan berbaju putih ke mana-mana. Maka, apabila beliau memberikan teguran atau kritikan, maka wajarlah diberikan perhatian sewajarnya.

Kritikan

Beberapa pimpinan tinggi PH berpendapat pelantikan orang politik tidak wajar dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memastikan tidak berlaku salah guna kuasa dan pengaruh mereka untuk kepentingan politik sebagaimana dikatakan banyak berlaku ketika pemerintahan BN sebelum ini.

Namun bagaimana pula pelantikan ahli exco negeri dan menteri? Mereka juga orang politik dan pelantikan ini juga akan mewujudkan kepentingan politik. Syed Husin menyanggah sikap yang mahukan hanya profesional boleh menjadi pemimpin GLC dan sebagai duta.

Apakah nasib dan masa depan aktivis politik yang bertungkus lumus memenangkan PH? Siapa yang hendak bertungkus lumus untuk memenangkan PRU15 pada masa akan datang? Syed Husin menasihati PH agar berhati-hati terhadap apa-apa keputusan dan dasar mereka.

Dalam konteks ini, sebagai mantan ahli akademik 30 tahun, Syed Husin seolah-olah sudah dapat menghidu tindak tanduk atau gelagat pimpinan tinggi PH. Yang mengecewakan aktivis apabila ada mantan pemimpin Umno yang tidak lama bertukar kulit terus dilantik menjadi pimpinan GLC, sedangkan aktivis berjuang di jalan raya berpuluh tahun belum diiktiraf. Sedangkan yang baru bertukar kulit begitu cepat diiktiraf dan diberikan tempat dan kedudukan.

Luka kekecewaan ini dijangka akan bertambah dalam apabila misi kemasukan beramai-ramai 40 ahli politik Umno ke Bersatu. Pasti ada ganjaran politik kepada ahli politik yang lompat parti ini. Setidak-tidaknya jawatan dalam GLC.

Jadi kekecewaan ini akan semakin mewabak kerana sudah ada sudah spekulasi ahli Kabinet bakal digugurkan kerana perdana menteri tidak berpuas hati dengan prestasi mereka.

Ketika itu, golongan aktivis semakin dilupakan kerana PH akan asyik memberikan ganjaran yang baru bertapak dalam PH. Akhirnya, aktivis yang bertungkus lumus memenangkan PH terpinggir seperti melukut di tepi gantang, jasa mereka cepat dilupakan oleh parti sendiri.

Pahlawan kesiangan

Maka bertambahlah pahlawan kesiangan dalam PH, iaitu baru mahu berjuang atau berkhidmat dengan PH hanya setelah kemenangan PH berkuasa. Sebelum ini, mereka tidak melakukan apa-apa, meragui dan memandang rendah perjuangan PH, malah menjauhi diri daripada perjuangan PH. Setelah PH menang, golongan ini muncul macam cendawan selepas hujan.

Apabila aktivis berjuang, ditekan, diperlekeh, pahlawan kesiangan ini pula enak dengan zon selesa atau bersama lawan mereka, atau mengambil jalan selamat “tidur” ketika aktivis lain bertempur. Apabila pertempuran selesai mereka baru bangun dan mengakui menang dan pernah bertempur! Kelompok ini akan menjadi duri dalam daging; menabur angin dan bakal menuai badai!

Tindakan tidak mengetengahkan golongan pejuang tulen bermakna satu kerugian besar.

Aktivis terpinggir

Hanya Mazlan Aliman aktivis tunggal yang mengisi jawatan GLC, selebihnya seolah-olah dilupakan. Di manakah kerajaan baru PH letakkan pengiktirafan terhadap aktivis Seniman Paksi Rakyat misalnya dalam mana-mana badan penasihat sastera dan budaya dalam kerajaan baru? Kelompok ini melawan arus perdana ketika era dulu.

Berapa kerap kelompok ini dijemput oleh Anwar Ibrahim bagi membincangkan hala tuju seni dan budaya? Apakah aktivis mereka tidak layak menganggotai mana-mana ahli lembaga yang berkaitan? Dinsman misalnya, lulusan antropologi sosiologi anak murid Syed Husin, seorang penyair dan aktivis politik era reformasi 1998. Hasni Abas seorang aktivis kesatuan sekerja yang sudah lama menjadi aktivis belasan tahun lamanya.

Kecenderungan menyisihkan aktivis yang banyak menyumbang menumbangkan BN adalah sikap tidak wajar PH. Tindakan ini seolah-olah masih lagi berkisar mentaliti politik dunia ketiga yang banyak menyisihkan golongan aktivis yang berpengalaman, terlibat dalam kesatuan sekerja atau pentadbiran dan mempunyai latar belakang yang pelbagai. Mereka ini ada kelulusan, ada wibawa dan pengalaman berharga dan bukannya berwatak pahlawan kesiangan.

Mereka orang setia kepada perjuangan parti dan parti tidak boleh cepat lupa diri. Merekalah bakal berjuang untuk meraih undi untuk PH dan bukannya kelompok pahlawan kesiangan.

Dengan segala ketidakpuasan sentimen isu manifesto dan isu kos hidup masih membelenggu rakyat, PH perlu lebih beringat dan berwaspada. Tanpa aktivis PH akan tempang berdepan pilihan raya akan datang.

Atau, PH kini barangkali sudah berasa aktivis tidak diperlukan sekarang. Cukuplah kelompok pahlawan kesiangan yang sentiasa berbisik indah! – 28 Oktober, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen