BEKAS perdana menteri Najib Razak sekali lagi mengulangi pendirian bahawa derma RM2.6 bilion yang diterima beliau disumbangkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Beliau menegaskan pendiriannya itu menerusi status terbaharu dalam Facebook bagi menjawab kenyataan Menteri Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir yang menafikan wang itu daripada Riyadh.
Najib berkata beliau sudah menjelaskan isu derma itu pada bulan lalu dengan disertakan gambar surat dan slip transaksi bank yang menunjukkan wang itu daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi dan beliau memulangkannya semula empat bulan kemudian.
“Walaupun sebelum ini Menteri Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir pernah dua kali dengan mulut sendiri mengesahkan bahawa negara Arab Saudi yang menderma wang kepada saya, Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah mendakwa bahawa hari ini Adel memberitahu dia wang yang disebut RM2.6 bilion tidak ada kaitan dengan KERAJAAN Arab Saudi.
“Ini ialah hantaran mengenai penjelasan saya bulan lepas di mana saya telah memberi bukti bahawa semua surat-surat dari penderma ialah dari orang yang sama.
“Di hantaran itu, saya turut menunjukkan bukti dokumen-dokumen dari bank yang membuktikan bahawa kebanyakan dana-dana yang disalurkan kepada akaun saya ialah terus dari Kementerian Kewangan Kerajaan Arab Saudi dan dari putera-putera Arab Saudi,” tulisnya.
Beliau turut berkongsikan entri bertarikh 13 September yang menunjukkan gambar sepucuk surat bertarikh 1 Mac 2013 daripada Putera Abdulaziz Al-Saud yang menyatakan pemberian wang sebanyak AS$800,000 secara berperingkat kepada Najib.
Dalam surat itu, putera berkenaan turut menyatakan wang tersebut akan disalurkan kepada Najib sama ada melalui akaun peribadi beliau sendiri atau akaun lain termasuk Tanore Finance Corp..
“Hampir semua dari dana yang disebut RM2.6 bilion ini sudah dikembalikan kepada sumber yang menyalurkan 4 bulan selepas diterima.
“Saya pun telah didakwa kerana menerima dana ini dan juga didakwa kerana mengembalikannya,” katanya. – 26 Oktober, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Mesoll Mohd · Ulasan