ANGGOTA pentadbiran negeri berpendapat rakyat di negeri Johor lebih memerlukan infrastruktur dan prasarana seperti hospital berbanding jambatan baharu untuk menggantikan Tambak Johor.
Seorang anggota pentadbiran yang enggan dikenali berkata, jambatan baharu itu juga tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya memenuhi agenda Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, walaupun dengan jambatan baharu, pengguna yang mahu melintasi sempadan tetap perlu mengharungi kesesakan di Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin, Bangunan (CIQ) Sultan Iskandar.
“Bina semula jambatan itu seperti balik semula ke legasi Dr Mahathir, beliau yang mahukan sangat jambatan itu sedangkan ia tak selesaikan masalah kesesakan sebab semua laluan akan sesak di CIQ,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Sumber itu berkata, rancangan untuk menyambung semula pembinaan jambatan itu juga tidak selari dengan langkah penjimatan yang sedang diamalkan kerajaan persekutuan.
“Setakat ini lebih penting selesaikan isu rakyat, banyak isu rakyat yang perlu diselesaikan. Kalau buat jambatan itu pun tidak selesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor.
“Ini bukan jambatan ketiga. Ini hanya jambatan penghubung tanpa melalui tambak. Lebih baik selesaikan isu rakyat macam TMJ (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) cakap. Isu kemudahan asas.
“Kita kata perlu berjimat tetapi jambatan itu masih belum diperlukan nak dibuat, lebih baik sumber kewangan disalur kepada prasarana rakyat yang lain,” katanya.

Beliau mengulas saranan Tunku Ismail pada Selasa lalu bahawa usaha untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan di negeri perlu diutamakan berbanding meneruskan rancangan pembinaan jambatan itu.
Tunku Ismail dalam coretan di Twitter menyebut, projek itu termasuk pembinaan semula Hospital Pasir Gudang yang ditangguhkan ketika ini, akibat bebanan hutang kerajaan yang tinggi.
Sedangkan, pembinaan Hospital Pasir Gudang yang dijangka menelan kos RM500 juta itu sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).
Tunku Ismail menyatakan demikian ketika menjawab saranan Menteri Besar Osman Sapian yang berkata kerajaan negeri berusaha merealisasikan impian Dr Mahathir itu.
Bagaimanapun menurut sumber dalam pentabiran kerajaan negeri lagi, tiada sebarang perbincangan antara menteri besar dan barisan exco negeri berhubung keputusan itu.
“Sebenarnya tiada maklumat, menteri besar umum lepas pertemuan dengan Dr Mahathir, saya juga terkejut,” katanya.
Sumber lain turut mengesahkan perkara itu dan berkata, Osman tidak memaklumkan kepada exco keputusan tersebut.
“Kita tak perlu bincang perkara ini, baik kita selesaikan isu kemudahan hospital.
“Lebih penting kita lihat peralatan lama di hospital yang tidak diganti, isu itu yang lebih perlu diselesaikan,” tambah sumber itu lagi.

Mereka juga hanya dimaklumkan berkenaan menteri besar untuk membina laluan ketiga menghubungkan Pengerang, Johor dengan Pulau Ubin, Singapura, kata sumber.
Jelasnya, projek itu akan meliputi pembinaan jambatan sepanjang tiga kilometer dan sebuah terowong dasar laut bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
Projek jambatan untuk menggantikan Tambah Johor itu digelar sebagai jambatan bengkok, iaitu lebuh raya enam lorong berbentuk S.
Rekaan melengkung itu dibuat sedemikian rupa bagi membolehkan kapal melaluinya – memandangkan Singapura enggan merobohkan separuh daripada tambak tersebut.
Ia dicetuskan Dr Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri semasa pentadbiran Barisan Nasional, pada 2003, sebelum menamatkan tempoh 22 tahun sebagai perdana menteri. – 22Oktober, 2018.
Komen