Johor mahu jambatan bengkok ke Singapura dibina semula


Chan Kok Leong

Menteri Besarnya Osman Sapian berkata pembinaan jambatan bengkok itu akan membantu mengurangkan kesesakan ke Singapura dan pencemaran di Selat Tebrau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2018.

JOHOR meminta kerajaan persekutuan menghidupkan semula projek jambatan bengkok, kata Menteri Besar Osman Sapian.

“Kami sudah mencadangkannya kepada perdana menteri dan berharap beliau akan meluluskan permintaan kami,” kata Osman kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata jambatan bengkok akan membantu mengurangkan kesesakan ke Singapura dan pencemaran di Selat Tebrau.

Menurut Osman, delegasi Malaysia yang diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali akan ke Singapura tidak lama lagi untuk membincangkan cadangan itu.

Projek jambatan bengkok itu pertama kali dicetuskan oleh Dr Mahathir Mohamad untuk menggantikan Tambak Johor ketika beliau menjadi perdana menteri semasa pentadbiran Barisan Nasional.

Pada 2003, sebelum menamatkan tempoh 22 tahun sebagai perdana menteri, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan meneruskan pembinaan jambatan bengkok - lebuh raya enam lorong berbentuk S - yang direka melengkung sedemikian rupa bagi membolehkan kapal melaluinya - jika Singapura enggan merobohkan separuh Tambak.

Selain jambatan bengkok, Osman berkata delegasi itu juga akan membincangkan mengenai cadangan jambatan ketiga dan mengkaji semula harga air yang dibekalkan kepada republik pulau itu.

Julai lalu, Osman berkata, kerajaan negeri pimpinannya berharap akan dapat menaikkan harga air yang dijual kepada Singapura kepada “harga yang munasabah” iaitu sehingga 16 kali ganda, daripada 3 sen sekarang kepada 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Osman menyebut contoh harga air mentah yang dijual oleh Johor kepada Melaka iaitu pada 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan bagaimanapun berkata Malaysia sudah hilang hak untuk menyemak semula perjanjian air itu pada 1987 apabila pentadbiran Dr Mahathir ketika itu memilih untuk tidak menyemaknya.

Balakrishnan juga berkata, Singapura sebenarnya menjual air yang dirawat kepada Johor dengan harga yang murah berbanding kos sebenar rawatan iaitu RM2.40 bagi setiap 1,000 gelen. Singapura memberi Malaysia subsidi RM1.90, tambahnya.

Beliau mendakwa Johor menjual air yang dirawat itu kepada rakyatnya pada harga RM3.95 bagi setiap 1,000 gelen, dan meraih untung RM3.45 atau RM46 juta setahun. – 16 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen