Tarik tali Putrajaya isu MA63


Awang Azman Awang Pawi

PERTEMUAN Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal dan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg baru-baru ini membuka lembaran baharu hubungan Sabah dan Sarawak. Pada ketika dahulu hubungan Sabah dan Sarawak diperkukuhkan oleh Abdul Taib Mahmud dan Musa Aman yang masing-masing daripada komponen Barisan Nasional (BN).

Kini Abang Johari memimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bersifat bebas dan manakala Shafie pula memimpin Warisan Sabah dan membentuk kerajaan negeri yang mesra Pakatan Harapan. Inilah kunjungan rasmi Shafie pertama ke Sarawak.

Intipati pertemuan tersebut ialah Sarawak dan Sabah mempunyai pendirian yang sama untuk berjuang isu hak negeri khususnya untuk memulihkan status serta mengembalikan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Kedua-dua negeri itu suatu ketika dahulu berstatus lebih besar ketika pembentukan Malaysia pada 1963. Kedua-dua negeri juga dianggap rakan kongsi saksama dengan Semenanjung Malaysia.

Namun pindaan Perlembagaan pada 1976 menjadikan Sarawak dan Sabah hilang status tersebut. Kini Sabah atau Sarawak berstatus sama dengan mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia.

Ketika era singkat pemerintahan Adenan Satem, beliau mendakwa pindaan 1976 itu sepatutnya terbatal dan tidak sah kerana melanggar Perjanjian Malaysia, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan, Laporan Suruhanjaya Cobbold, dan cadangan-cadangan lain yang berkaitan dengan pembentukan Malaysia.

Kesan daripada Pindaan 1976 mengakibatkan Sarawak dan Sabah yang ditempatkan pada kedudukan yang sama dengan 11 negeri dan Wilayah Persekutuan di Semenanjung, bukannya dinamakan secara berasingan dalam Perkara 1 Perlembagaan yang asal.

Namun Sabah dan Sarawak terlepas peluang mencabarnya ketika pindaan tersebut dalam proses cadangan. Ini kerana ketika itu politik di Sabah dan Sarawak sangat bergantung kepada Kuala Lumpur. Era tersebut berlaku ketika Haris Salleh memimpin Sabah dan Abdul Rahman Yaakub di Sarawak. Dipercayai tekanan politik akan dikenakan kepada pemimpin politik tidak bersetuju dengan kemahuan kerajaan pusat.

Tarik tali politik

Namun kini selepas 48 tahun, landskap politik Sabah dan Sarawak sudah berubah manakala penguasaan BN di Putrajaya sudah berakhir. Namun Pakatan Harapan (PH) berada dalam kedudukan kerajaan yang belum lagi kuat sepenuhnya apabila hanya menang dengan majoriti tipis.

PH memerlukan sokongan padu khususnya di Sabah bagi melengkapkan pembentukan kerajaan manakala memerlukan Sarawak pada masa akan datang untuk menguatkan kedudukan politik Putrajaya.

Bagi tujuan melunakkan sokongan politik dari Sabah dan menarik sokongan Gabungan Politik Sarawak, maka Putrajaya tidak ada jalan lain melainkan berkompromi dengan tekanan politik Sabah dan Sarawak.

Strategi Mahathir

Dr Mahathir mengetuai Jawatankuasa Kabinet untuk menangani isu MA63 untuk mengembalikan keistimewaan kepada Sabah dan Sarawak. Ahli jawatankuasa tersebut termasuklah Ketua Menteri Sabah dan Sarawak, selain peguam negeri masing-masing.

Perjanjian Malaysia 1963 membawa kepada Akta Malaysia dan ini merupakan sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia. Walaupun Sabah dan Sarawak tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen untuk meminda perlembagan sekarang, namun Putrajaya kini dilihat bersedia menyokong suara dari kedua-dua negeri tersebut untuk kepentingan semua. 

Sabah dan Sarawak mahu diiktiraf sebagai setara dengan Semenanjung bukannya sama dengan negeri-negeri lain. Namun isu yang sebenarnya ialah berkaitan pengagihan ekonomi dan kewangan.

Sabah, Sarawak bangkit

Tuntutan 20 peratus royalti minyak dan gas Sabah dan Sarawak menunjukkan kesepakatan Sabah dan Sarawak dalam isu kepentingan bersama. Kerajaan negeri Sabah dan Sarawak percaya Petronas tidak akan rugi sekiranya membayar 20 peratus royalti daripada hasil pengeluaran dan bukan 20 peratus hasil keuntungan. Sabah dan Sarawak banyak menyumbang dalam sektor minyak dan gas. Sabah misalnya mengeluarkan hampir 50 peratus minyak dan gas untuk negara.

PH dituduh tidak mahu menggunakan istilah royalti kerana penggunaan ini akan merujuk kepada konotasi minyak dan gas milik Sabah dan Sarawak. Sekiranya menggunakan istilah keuntungan maka secara tersirat ia lebih kepada runding niaga dan seolah-olah Sarawak dan Sabah tidak mempunyai hak pemilikan ke atas minyak dan gas tersebut.

Ketika ini Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 semakin dipersoalkan oleh Sabah dan Sarawak. Sarawak kini menguatkuasakan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO) mulai 1 Julai tahun ini. Petronas dikenakan peraturan agar perlu mendapatkan lesen atau pajakan berdasarkan  Ordinan Perlombongan Minyak 1958 yang kini diguna pakai oleh Sarawak.

Implikasi dari segi undang-undang ialah pihak Petronas perlu akur dengan undang-undang yang dikenakan ini. Sekiranya gagal, maka segala aktiviti huluan yang dilaksanakan oleh pihak Petronas akan tidak sah atau haram. Maka, kerajaan negeri Sarawak mempunyai kuasa untuk bertindak. Petronas pula membawa isu ini ke mahkamah dan belum terdapat keputusan daripada mahkamah.

Isu minyak dan gas di Sarawak bertambah tegang apabila pihak Persekutuan dikatakan mengubah keluasan asal pelantar benua dari 350 batu nautika yang ditetapkan oleh Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut. Sedangkan pelantar benua adalah milik Sarawak dan hak pemilikan negeri Sarawak.

Tuntutan akan hal tersebut bukan bermakna Sabah dan Sarawak tidak selesa dengan konsep persekutuan tetapi tuntutan tersebut lebih kepada menuntut hak asal dikembalikan.

PH dan Putrajaya perlu sedar bahawa apa-apa perubahan perlu rundingan yang lebih telus. Konsensus perlu dibuat sesuai dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dahulu yang dirunding dan dibincangkan secara aman dan bertanggungjawab. – 21 Oktober, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen