Drama Melayu mandulkan pemikiran


Haris Hauzah

HANYA segelintir yang mengetahui bahawa dunia intelektual itu sebenarnya sangat dekat dengan karyawan dan seniman. Tetapi ramai orang seni yang tidak menyedari bahawa karya seperti drama televisyen yang dihasilkan buat tontonan masyarakat itu adalah juga satu harta intelek yang harus dipertanggungjawabkan.

Lebih buruk apabila ramai orang seni enggan mengakui bahawa mereka adalah cendekiawan intelektual yang menghasil dan mencampakkan karya mereka ke tengah masyarakat sebagai sebuah dokumen bertaraf pemikiran dan anutan.

Yusof Haslam terlihat dangkal apabila menuturkan kenyataan berbunyi: “Kalau pengaruh buruk tidak perlu tunggu drama. Dalam internet ada pelbagai benda termasuk bahan lucah dan keganasan.” 

Dia terburu-buru sewaktu menyanggah kenyataan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Firdaus Abdullah, yang mengatakan drama TV mempunyai “50% barangkali 80%” elemen negatif.

Yusof terlalu beremosi hingga gagal memahami konteks polemik dan isu pada syarah yang mahu diangkat Firdaus menjadi isi. Lantas Yusof dengan semberono menuding jari pada telefon genggam dan internet yang sepatutnya dipersalah akibat kawalannya yang tidak diperketatkan kerajaan.

Apa yang Yusof tidak tahu atau barangkali tidak sedar adalah pemain industri yang terdiri dari orang seni dan karyawan itu juga adalah intelektual yang menghasilkan bahan-bahan keintelektualan.

Firdaus dalam wacana bertajuk Merombak Revolusi Mental Melayu-Bumiputera: Antara Etos dan Pathos di Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini menyebut drama Melayu yang sering bersiaran di kaca TV kerap memaparkan elemen negatif. Lalu itu menjadi antara punca mengapa orang Melayu mengalami kesukaran mengubah sikap untuk menjadi lebih positif.

Kenyataan Firdaus harus disilang rujuk dengan kenyataan yang pernah dibuat oleh Syed Hussien Alatas melalui tulisannya berjudul Intellectuals in Developing Socities. Kata Syed Hussien, “Tugas intelektual adalah menjelaskan masalah masyarakat dan cuba mencari penyelesaiannya. Dengan kata lain, intelektual menghasilkan idea dan menyebarkannya kepada setiap anggota masyarakat. Fungsi para intelektual adalah untuk memimpin atau memberikan arahan kepada pemikiran masa itu.”

Masalah yang disebutkan oleh Syed Hussien ini tidak pernah diendah oleh ramai orang, khususnya golongan karyawan dan seniman Melayu yang menghasilkan karya di TV, sehingga mereka kurang cakna untuk menjadi golongan karyawan berjiwa intelektual yang peka dengan politik dan sensitif dengan kemelut ekonomi.

Malang sekali sekarang ini, drama TV Melayu memang tidak pernah mahu diangkat jadi “sekolah pemikiran” oleh para karyawan yang menghasilkan. Ini termasuk dari kalangan pegawai serta dasar stesen TV kita sendiri yang bersubahat menjadikan drama TV Melayu hanya sebagai medium hedonis pengaut keuntungan.

Kemelut yang melanda drama TV Melayu bukan bermula di universiti tempatan. Ada universiti awam Malaysia yang menghabiskan wang dananya untuk kajian mengenal apa bendanya Islam Hadhari hanya kerana ia idea bekas seorang Perdana Menteri.

Semua ini berlaku adalah kerana sikap universiti tempatan yang lebih ghairah akan perihal kedudukan universiti mereka. Mereka lalu memilih jalan pintas cara termudah menjadi pembodek kerajaan bagi meninggikan pangkat kedudukan serta mendapatkan projek dan geran.

Tatkala intelektual yang ada di universiti kita berkhayal dengan status universiti apex dan bangga dengan gelar jadi profesor di sebuah universiti penyelidikan, apa yang berlaku di lapangan dunia keintelektualan seni drama TV dalam kalangan para seniman dan stesen TV negara kita adalah lebih menyakitkan.

Ternyata derita para seniman yang cari makan dengan stesen TV dalam dunia seni lebih remuk teruk berbanding hal yang berlaku pada kalangan intelektual di universiti-universiti tempatan. Kedua-duanya sama hangus akibat korban dari kecelakaan pada kebobrokan sistem yang menjadikan dunia keintelektualan sebagai hamba kepada wang dan rating.

Seperti yang disinggung oleh Firdaus, drama TV yang didakwanya mengandungi 50% atau 80% elemen negatif seperti marah, benci dan kutuk-mengutuk yang disiarkan setiap senja disaluran tivi seluruh negara, sebenarnya adalah racun yang memerlukan penawar dalam suatu gerakan revolusi mental.

Drama TV Melayu selama ini hanya menjadi eskapisme kepada realiti dunia Melayu. Masalah kemiskinan dan kekurangan zat makanan dalam kalangan anak-anak miskin bandar. Keciciran dalam pendidikan dan kemunduran dalam ekonomi yang menyebabkan anak Melayu terjebak dengan kancah jenayah, pelacuran dan dadah.

Segala apa yang berlaku itu seakan tidak disedari para karyawan dan seniman. Lalu mereka melacurkan idea dan prinsip demi sesuap nasi di stesen TV tempat mereka cari makan.

Tidak sedikit yang pernah memperkatakan isu yang disebutkan oleh Firdaus ini. Selain Zaaba yang giat membawakan isi fikirannya, Abdullah Munsyi juga pernah berkata bahawa orang Melayu pemalas dan hanya suka bercinta. 

Malah ia disentuh banyak kali oleh Mahathir Mohamad dalam Dilema Melayu karangannya. Sementara Aminuddin Baki dan Senu Ab. Rahman adalah antara individu yang mengupas permasalahan dan mengajak seluruh orang Melayu untuk berubah melalui revolusi mental.

Revolusi Mental yang disarankan oleh Firdaus ini tidak akan memberikan apa-apa erti dan makna seandainya mereka yang terlibat dalam industri TV masih berfikir gaya Yusof Haslam yang polos dan dangkal.

Tanpa menyedari bahawa setiap karyawan dan seniman adalah seorang anggota revolusi intelektual yang bertanggungjawab menghasilkan drama-drama tivi yang ada mutu, berfaedah dan menginspirasikan, Revolusi Mental apapun tidak akan pernah berhasil dan menjadi.

Drama Melayu boleh terus menerus jadi pil khayal pada orang Melayu. Kisah percintaan agung dua anak hartawan, perebutan harta serta jawatan dalam kalangan keluarga jutawan dan cerita gadis Melayu lurus bebal menurut kehendak penindas sampai jadi korban rogol akan terus dihasilkan.

Karyawan dan seniman tak perlu jadi Yusof Haslam yang menyalahkan internet, handphone dan penguatkuasaan kerajaan lagi. Cukuplah dengan mengetahui yang anda adalah seorang intelektual yang mampu melakukan banyak revolusi dalam masyarakat. – 21 Oktober, 2018.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen