Universiti swasta juga perlu pembaharuan, kata ahli akademik


Mustafa K. Anuar

Kebanyakan universiti swasta di negara ini kekurangan pemantauan sewajarnya bagi memastikan pendidikan berkualiti diberi keutamaan berbanding pertambahan pengambilan pelajar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Oktober, 2018.

PENEKANAN terhadap sumber pendapatan berbanding pendidikan berkualiti, tenaga akademik yang bekerja terlalu teruk dan kurangnya ketelusan kewangan dan akademik adalah antara beberapa masalah yang melanda universiti swasta di Malaysia, kata pensyarah.

Oleh itu, apabila Menteri Pendidikan Maszlee Malik baru-baru ini mengumumkan beberapa langkah perubahan bagi universiti awam untuk membolehkan kebebasan akademik yang lebih meluas, ramai ahli akademik dari universiti swasta berasa terpinggir.

Mereka mengatakan universiti swasta juga sangat memerlukan pembaharuan, dan bukan hanya kebebasan dalam bidang akademik dan politik sahaja.

Terdapat 47 universiti swasta tersenarai di Malaysia, dan institusi pengajian tinggi ini adalah di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 yang membolehkan kolej swasta dan universiti menyediakan pendidikan tinggi serta menganugerahkan ijazah mereka sendiri.

Bagaimanapun, seorang pensyarah di Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) di Kampar berkata kebanyakan universiti ini kekurangan pemantauan yang betul bagi memastikan pendidikan berkualiti diberi keutamaan berbanding pertambahan pengambilan pelajar.

“Kebanyakan institusi pengajian tinggi swasta diuruskan seperti perusahaan perniagaan dengan motif utama meningkatkan jumlah pengambilan pelajar dan menghasilkan wang - dan bukannya pendidikan bagi komuniti yang lebih besar,” kata pensyarah yang tidak mahu namanya disiarkan.

“Tidak banyak penekanan diberi terhadap kecemerlangan akademik kerana kakitangan sering diminta mengadakan acara yang mampu memberi publisiti kepada kolej serta menarik pelajar yang berpotensi.”

Satu lagi ahli akademik dari universiti swasta di Kuala Lumpur berkata, ketika lebih banyak universiti swasta kini memberi penekanan yang lebih besar terhadap kualiti program mereka, pensyarah diberikan jadual mengajar yang banyak untuk diakomodasi dengan pengambilan pelajar yang kerap sepanjang tahun.

“Pendek kata, kita berubah menjadi mesin mengajar. Kami sentiasa letih dengan tugas harian dan sistem semester yang sibuk. Saya pasti, ramai di antara kami tidak mempunyai masa untuk bertenang dan memikirkan isu-isu besar seperti ‘kebebasan akademik’!” katanya.

Pensyarah Utar bersetuju sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ketat dan mempunyai tiga semester setahun menyebabkan banyak ahli akademik tidak mempunyai masa untuk menjalankan penyelidikan berkualiti tinggi.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata berjanji membawa pelan pemansuhan undang-undang tertentu di universiti semasa sidang Parlimen akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018

“Saya perhatikan kekurangan masa dan rehat yang diberikan kepada ahli akademik mendorong beberapa mereka menjadi penulis bersama bagi kertas kerja. Malah, saya melihat beberapa kertas persidangan dengan lebih daripada lima penulis.

“Para tenaga akademi bergelut untuk membahagikan masa antara beban penyelidikan dan mengajar serta sejumlah besar tugas pentadbiran,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Ini menghalang ahli akademik daripada menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi kerana mereka biasanya menulis mengenai masalah topikal dengan hasil yang boleh diramalkan.”

Seorang lagi ahli akademik yang bekerja dengan universiti swasta terkenal mengatakan pembaharuan universiti meliputi lebih sekadar autonomi akademik.

Dengan syarat tidak dikenali, beliau berkata universiti swasta menghadapi cabaran kakitangan akademik dan beban kerja, penstrukturan dan transformasi kurikulum, proses akreditasi yang lebih baik dan ketelusan serta akauntabiliti kewangan, di samping peranan lebih besar kakitangan akademik dan pelajar dalam soal pengaturan tadbir urus.

Berhubung kebebasan politik di kampus, seorang ahli akademik yang enggan dikenali mendakwa kebebasan politik pelajar ditindas di kolej dan universiti swasta.

“Berdasarkan pengalaman saya, pelajar yang membuat laporan dan kelas menulis berita saya sering ditolak oleh pihak pengurusan untuk temuduga apabila mereka membuat tugasan menulis berita. Amalan tidak sihat ini mengekang pelajar daripada menjadi kritikal terhadap persekitaran mereka,” katanya.

Awal bulan ini, Maszlee mengumumkan rancangan untuk memansuhkan peruntukan undang-undang yang menghalang pelajar universiti awam terlibat aktif dalam politik, serta memperkasakan pelajar dengan menjalankan pilihan raya kampus sendiri tanpa campur tangan daripada pihak pentadbiran universiti.

Mazlee berjanji membawa pelan pemansuhan undang-undang tertentu semasa sidang Parlimen akan datang. – 20 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen