SARAWAK melarang pemimpin masyarakat yang dilantik negeri dan ketua etnik daripada menghadiri mana-mana acara anjuran kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan mereka “neutral dan terhindar daripada politik”.
Arahan itu berkuatkuasa serta-merta, datang dalam memo bertarikh 11 Oktober daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Mohamad Morshidi Abdul Ghani kepada ketua penduduk di 12 bahagian pentadbiran negeri.
Memo itu menyatakan “semua pemimpin komuniti dan ketua etnik tidak dibenarkan mengambil bahagian atau hadir dalam sebarang majlis dan program bukan anjuran kerajaan negeri atau organisasi yang diluluskan”.
Acara ini termasuklah pembukaan jalan baru dan bangunan sekolah, pemasangan paip air dan juga sesi dengan wakil rakyat.
Seorang pegawai kanan pentadbiran yang enggan namanya disiarkan memberitahu The Malaysian Insight arahan ini adalah untuk memastikan pemimpin masyarakat “kekal neutral dan terhindar daripada politik”.
“Orang-orang ini dianggap sebagai penjawat awam. Mereka ini tersenarai menerima gaji kerajaan negeri,” kata pegawai itu, mengesahkan kesahihan memo yang tular di media sosial.
Disebabkan pengaruh mereka, pemimpin masyarakat - anggota dewan tempatan, Temenggong, Pemanca, Penghulu, Tuai Rumah, Kapitan dan Ketua Kampung - khususnya di luar bandar Sarawak, sering menjadi sasaran ahli politik daripada kedua-dua belah pihak.
Pegawai itu juga berkata pada masa pemerintahan Barisan Nasional (BN), para pemimpin ini dijemput menghadiri untuk semua acara persekutuan yang diadakan di negeri ini, menimbulkan persoalan tentang sifat berkecuali mereka.
Adun Pending daripada DAP, Violet Yong menyelar arahan itu sebagai “kebudak-budakan”, “sangat tidak bertanggungjawab” dan langkah untuk “menafikan hak pemimpin masyarakat untuk melaksanakan kewajipan mereka dengan bebas”.

Beliau berkata memandangkan pemimpin masyarakat adalah perantara antara rakyat dan kerajaan, arahan seperti itu akan meletakkan mereka dalam keadaan yang sukar.
Yong berkata arahan itu menunjukkan terdapat ketidakpercayaan politik antara kerajaan negeri pimpinan pembangkang Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Putrajaya walaupun mendakwa mereka mesra dengan PH.
Seorang pegawai pentadbiran lain berkata kerajaan persekutuan PH “tidak perlu marah dengan arahan ini kerana ia hanya terpakai kepada pemimpin masyarakat yang menerima gaji kerajaan negeri, bukannya ‘anak biak’ (ahli komuniti) mereka”.
“Kami (kerajaan negeri) mempunyai hak untuk memberitahu mereka apa yang perlu dilakukan kerani kami membayar gaji mereka,” kata pegawai itu.
Diyakini terdapat ribuan pemimpin masyarakat di negeri yang mempunyai 2.7 juta penduduk dan lebih daripada 50 etnik.
Ini bukan kali pertama kerajaan negeri dengan persekutuan berlaga mengenai pelantikan pemimpin masyarakat.
Pada Mei, apabila PH memenangi kuasa persekutuan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar membekukan pelantikan dan pembayaran elaun anggota jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JKKK) di negeri ini.
Pelantikan anggota JKKK dibuat oleh negeri tetapi kerajaan persekutuan membayar elaun mereka dan pembekuan itub bertujuan untuk mencari ahli politik yang dilantik.
Sarawak, yang menjadi negeri pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-14, tidak mengendahkan arahan persekutuan dengan mengambil alih bayaran elaun, dengan kadar antara RM300 (setiausaha) hingga RM900 (pengerusi) dan insentif mesyuarat antara RM50 dan RM100. – 19 Oktober, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Zainal Mahfodz · Ulasan