Pinda undang-undang atasi isu buli di sekolah


ISU buli di sekolah kembali hangat apabila dua pelajar di sebuah Kolej Vokasional di Kuala Nerus, Terengganu jadi mangsa belasahan kira-kira dua puluh pelajar senior di kolej itu atas tuduhan tidak mematuhi arahan pelajar senior.

Akibat tindakan tidak berperikemanusiaan itu, mangsa mengalami kecederaan dan lebam pada bahagian belakang badan.

Isu buli yang berlaku dalam kalangan pelajar di sekolah ini bukanlah satu isu yang jarang-jarang kita dengar. Hampir setiap bulan ada sahaja isu yang sama.

Tindakan tegas perlu diambil bagi membendung kejadian buli yang berlaku di sekolah kerana sekolah merupakan sebuah institusi paling penting untuk mendidik generasi muda sebelum mereka melangkah ke alam dewasa.

Jika kejadian buli di sekolah tidak dibendung dari awal, ia pasti akan menjejaskan kualiti pelajar yang dilahirkan kelak. Kejadian buli ini juga jika tidak dikawal, akan memberi reputasi buruk terhadap sistem pendidikan negara kita. 

Terdapat juga kajian yang menunjukkan kejadian buli di sekolah ini juga jika tidak dibendung akan menjurus kepada kegiatan jenayah yang lebih serius apabila pelajar terbabit meningkat dewasa.

Sebelum perkara lebih buruk berlaku, tindakan awal perlulah diambil pihak yang berkaitan untuk mencari jalan bagi menghentikan atau mengawal kejadian buli di sekolah ini.

Mungkin sudah sampai masanya pihak kerajaan memikirkan untuk meminda Akta Pendidikan 1996 sedia ada ataupun mewujudkan sebuah akta khas khusus untuk mengawal serta mengekang kejadian buli di sekolah, seperti yang diamalkan di negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Melalui akta berkenaan, setiap kes buli di sekolah dapat disiasat dengan lebih terperinci serta bersesuaian dengan prosedur yang sepatutnya bagi menyiasat kes buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Melalui akta khas itu juga, ia dapat mewajibkan setiap sekolah untuk mempamerkan polisi khusus mengenai buli. Polisi itu akan dapat memberi kesedaran kepada semua pihak di sekolah terutamanya pembuli untuk menjauhkan diri daripada terlibat dalam kes buli. Ia juga dapat memberi maklumat kepada mangsa mengenai hak mereka sekiranya dibuli serta maklumat lengkap kepada siapa mereka harus mengadu.

Akta khas itu juga akan memperuntukkan pihak pengurusan sekolah untuk mewujudkan sebuah jawatan khas setaraf dengan kaunselor untuk mengendalikan kes buli di sekolah masing-masing. Jawatan itu perlulah diisi oleh mereka yang berkelayakan dalam bidang psikologi serta mahir mengendalikan kes buli dalam kalangan pelajar.

Tidak dapat dinafikan, sesungguhnya isu buli di sekolah tidak boleh dipandang dengan sebelah mata sahaja. Ia memerlukan komitmen semua pihak, baik guru, ibu bapa, masyarakat umum atau pelajar itu sendiri bagi memastikan institusi sekolah menjadi gedung ilmu dan bukannya tempat untuk melahirkan samseng atau penjenayah.

Perbuatan membuli, sama ada untuk berseronok atau kerana benci dan ingin membalas dendam, tidak sewajarnya jadi budaya yang menunjangi institusi sekolah dalam negara. – 11 Ogos, 2017.

* Dr. Muzaffar Syah Mallow, pensyarah kanan undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen