11 lagi pelajar kolej vokasional direman kerana buli


SERAMAI 11 pelajar lagi ditahan reman berhubung kes buli di sebuah kolej vokasional di Kuala Terengganu, menjadikan jumlah keseluruhan pelajar yang direman 26 orang setakat ini.

Perintah reman selama tiga hari sehingga Sabtu terhadap 11 pelajar itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Roszita Md Saad hari ini bagi membolehkan mereka disiasat menurut Seksyen 142 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Semalam, 15 pelajar direman sehingga Sabtu  bagi membantu siasatan kes itu.

Kesemua pelajar terbabit dipercayai terlibat membuli tiga pelajar iaitu dua pelajar tahun satu dan seorang tahun dua di kolej berkenaan dengan kejadian terkini pagi Selasa.

Dalam kejadian 1.30 pagi Selasa itu, dua pelajar tahun satu berusia 16 tahun mendakwa mengalami kecederaan di beberapa anggota badan setelah dipukul beberapa pelajar senior dengan seorang daripada mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Satu lagi kes membabitkan pelajar tahun dua berusia 17 tahun yang mendakwa dipukul kumpulan pelajar yang sama ketika berada di surau pada 9.30 malam sebelum dipukul sekali lagi di asrama kolej kira-kira sejam kemudian dalam kejadian Isnin lalu.

Sementara itu Ketua Polis Terengganu Aidi Ismail berkata 11 pelajar terbabit yang kesemuanya berusia 17 tahun ditahan di rumah serta di asrama semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi tangkapan lain selepas ini.

“Sehingga hari ini seramai 26 orang telahpun ditahan,” katanya ketika ditemui pemberita di Terengganu International Endurance Park di Lembah Bidong, Permaisuri, di sini.

Beliau turut meminta pihak sekolah membuat laporan polis pada kadar segera sekiranya berlaku insiden sedemikian di sekolah masing-masing. – Bernama, 10 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen