Putrajaya cuba yakinkan negeri naik had umur kahwin


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr Wan Azizah berkata usaha meminda undang-undang menaikkan had umur berkahwin di seluruh negara akan memakan masa kerana melibatkan banyak pihak berkepentingan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Oktober, 2018.

MENAIKKAN had umur minimum perkahwinan adalah antara agenda mesyuarat pertama menteri besar dan ketua menteri dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di bawah kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) semalam.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membentangkan alasan kepada ketua-ketua kerajaan negeri itu kenapa had umur berkenaan perlu dinaikkan kepada 18 tahun, kata timbalan menteri Hannah Yeoh.

Menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri itu kemudiannya setuju membawa balik cadangan itu untuk dipertimbangkan oleh negeri masing-masing, katanya.

“Kami bentangkan kepada semua menteri besar dan ketua menteri PH, termasuk Sabah dan Sarawak. (Kami jelaskan) bahawa menaikkan (umur minimum) kepada 18 ada dalam manifesto.

“Kementerian kami bentangkan kesan negatif perkahwinan kanak-kanak terutamanya risiko kesihatan (kepada kanak-kanak).

“Mereka setuju untuk bawa balik ke negeri (untuk) semak,” kata Yeoh kepada The Malaysian Insight.

Daripada 13 negeri di Malaysia, tujuh di perintah oleh PH. Sabah dan Sarawak mempunyai kerajaan yang mesra PH masing-masing di bawah Parti Warisan Sabah dan Gabungan Parti Sarawak.

Perlis dan Pahang ditadbir Barisan Nasional (BN), sementara Kelantan dan Terengganu oleh PAS.

Pemimpin parti Islam itu sebelum ini tidak setuju dengan sekatan ke atas perkahwinan kanak-kanak kerana ia tidak salah di sisi agama.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata kementeriannya membentangkan alasan kenapa had umur berkahwin perlu dinaikkan kepada 18 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2018.

Mesyuarat semalam yang dipengerusikan Dr Mahathir adalah sidang kali ke-132 antara ketua negeri dengan perdana menteri. Ia juga mesyuarat pertama sejak PH mengambil alih kuasa dalam pilihan raya 9 Mei.

Bernama melaporkan Pahang, Kelantan dan Terengganu tidak menghantar menteri besarnya ke mesyuarat itu yang hanya dihadiri oleh wakil mereka.

Perkahwinan kanak-kanak menjadi isu bagi kerajaan baharu ini selepas kecoh pada akhir Jun lalu seorang lelaki 41 tahun di Gua Musang, Kelantan berkahwin dengan seorang budak perempuan Thai yang baru berumur 11 tahun. Lebih kurang sebulan selepas itu, seorang anggota Rela berusia 44 tahun berkahwin pula dengan budak berumur 15 tahun di Tumpat.

Cadangan menyekat perkahwinan kanak-kanak dengan menaikkan had umur layak berkahwin mendapat dukungan masyarakat.

Negara kecoh sejak Jun lalu apabila seorang lelaki 41 tahun di Gua Musang, Kelantan berkahwin dengan seorang budak perempuan Thai yang baru berumur 11 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2018.

Kenyataan awal kementerian itu juga menimbulkan kemarahan umum apabila menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata perkahwinan itu sedang"disiasat” dan Putrajaya “tiada kuasa” untuk membatalkan perkahwinan yang sah mengikut undang-undang syariah Kelantan.

Pembentangan kementerian itu kepada menteri besar dan ketua menteri semalam adalah sebahagian daripada usaha untuk meyakinkan pihak yang berkepentingan untuk mengharamkan perkahwinan kanak-kanak.

“Apa yang berlaku (mesyuarat itu) adalah konsisten dengan apa yang Dr Wan Azizah (kata),” kata Yeoh.

Bulan lepas, Dr Wan Azizah berkata usaha meminda undang-undang untuk menaikkan had umur minimum layak berkahwin di seluruh negara akan memakan masa kerana melibatkan banyak pihak yang berkepentingan.

Beliau menegaskan tentang perlunya mendapat persetujuan semua negeri agar had umur minimum perkahwinan dapat diseragamkan, kerana hal ehwal Islam terletak di bawah bidang kuasa sultan.

Dr Wan Azizah juga menyebut tentang persetujuan daripada ketua adat, bagi perkahwinan bawah umur yang disempurnakan mengikut undang-undang adat.

Setakat ini Selangor yang paling progresif, mencipta sejarah apabila dewan undangan negerinya pada awal September menetapkan had umur layak berkahwin pada 18 tahun dengan meminda Enakmen Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Enakmen Tatacara Mal Syariah (Negeri Selangor) 2003.

Selangor bagaimanapun tidak mengenakan sekatan penuh bagi perkahwinan gadis berumur antara 16 hingga 18 tahun. Mereka masih boleh membuat permohonan di mahkamah syariah dengan melalui syarat ketat.

Tidak seperti orang bukan Islam yang tiada sekatan perkahwinan di bawah umur 16 tahun, undang-undang syariah di negeri-negeri tidak mempunyai umur minimum bagi perkahwinan Muslim.

Remaja Muslim berumur kurang 16 tahun masih boleh bernikah dengan izin daripada hakim syariah. – 17 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen