Seriuskah kita mahu jadi bangsa kreatif?


Mahdzir Ibrahim

DUNIA telah memasuki era global apabila semua elemen berintegrasi secara kolektif. 

Sebagai contoh, Kementerian Belia dan Sukan tidak dapat mengurus pembangunan sukan yang lengkap dan menyeluruh tanpa dukungan elemen dan kepakaran tertentu dari bidang atau agensi yang lain.

Selain teknologi, bidang sukan juga memerlukan sokongan daripada agensi yang menguruskan hal ehwal pendidikan, kerana bimbingan dan asuhan bakat kesukanan itu perlu dipupuk dari usia kanak-kanak dan remaja. 

Malah ia memerlukan satu adunan sukatan pelajaran yang sesuai agar bakat remaja dapat digilap dan pada masa yang sama, bakat itu juga mempunyai pengetahuan yang sempurna.

Bermakna, hari ini kita memerlukan suatu elemen yang membolehkan dasar dapat diintegrasikan secara menyeluruh antara bidang dan entiti demi mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Hari ini kita memasuki dunia yang lebih baru, apa yang dipanggil Revolusi Industri 4.0. Sebuah dunia dengan budaya kerja dan hidup yang sofistikated. Revolusi Industri 4.0 berasaskan pengetahuan dan teknologi pintar meliputi kejuruteraan elektronik, kejuruteraan genetik dan neuroteknologi. 

Namun, pintar, hebat dan secekap mana pun teknologi ini, ia tidak akan dapat dikuasai tanpa adanya daya kreativiti manusia. Justeru, kreativiti adalah elemen penting kepada Revolusi Industi 4.0 ini.

Kreativiti bukan lagi hanya berlingkar kepada soal-soal kerja seni semata-mata, ia sudah menjadi sebuah konsep penyelesaian masalah dalam pekerjaan dan kehidupan.

Di San Diego, Amerika Syarikat, mereka menggunakan daya kreativiti untuk membantu kumpulan gelandangan. Gelandangan ini dibayar untuk sampah yang dikutip.

Misi dan objektifnya mudah: bandar akan bersih dan gelandangan mendapat upah untuk meneruskan hidup. Dengan upah itu diharapkan mereka berupaya untuk membina dan keluar dari kehidupan gelandangan pada suatu hari kelak.

Di Kenya, The Shoe That Grows, satu idea mudah dan ringkas yang mana kasut yang dicipta boleh dibesarkan sehingga lima kali dari saiz asal. Ini membolehkan kanak-kanak miskin menggunakan kasutnya untuk tempoh masa yang lebih lama tanpa perlu risau untuk kerap menukarnya.

Penyelesaian dan pendekatan kreatif cukup banyak akhir-akhir ini, mencakupi hal ehwal pengurusan, keselamatan, kemiskinan, kebajikan, masalah sisa pepejal dan segala macam keperluan hidup.

Kesemua ini memerlukan daya kreativiti dan imaginasi. Laporan dan statistik hanyalah abjad dan nombor yang dikumpul sebagai satu rekod atau laporan – hanya bermanfaat apabila manusia mempunyai idea dan menghasilkan kaedah penyelesaian.

Perkataan mahupun istilah kreatif bagi masyarakat di Malaysia umumnya masih terhad kepada kerja-kerja golongan seniman atau karyawan sebagai hasil seni budaya dan produk jualan sahaja.

Kita belum berupaya melihat kerja melukis adalah kerja asas yang dapat membentuk daya kreativiti seseorang. Malah masih ada ibu bapa yang tidak menggalakkan anak-anaknya memilih bidang seni lukis.

Begitu juga dengan kerja politik, ramai dalam kalangan mereka tidak dapat melihat bahawa kerja-kerja politik juga memerlukan pengetahuan dalam kerja-kerja kreatif dan imaginatif untuk menjual dasar-dasar awam mereka. Mereka masih percaya bulat-bulat kepada akauntan untuk menghasilkan formula membeli hati rakyat.

Kita sering mengambil tafsiran kreatif secara berpilih berdasarkan sentimen politik.

Contohnya, ramai dalam kalangan kita yang masih melihat industri kreatif Hollywood secara cetek dan selektif iaitu sebagai penternak masalah moral yang melingkari isu-isu halal haram dan penjajahan budaya.

Sedangkan, pelabur dan penerbit filem di Hollywood melihat filem sebagai sebahagian daripada kerja-kerja imaginasi dan intelektual yang boleh menjadi inspirasi kepada penghasilan produk berteknologi.

Beberapa contoh bagaimana kerja-kerja kreatif dan fiksyen ini memberi inspirasi, antaranya teknologi roket yang terinspirasi daripada novel War of The Worlds 1898 karya H.G. Wells, telefon bimbit dan aplikasi QuickTime yang diinspirasikan juga daripada siri televisyen Star Trek dan banyak lagi.

Kita belum berjaya mengungkapkan kreativiti kepada ruang yang lebih luas. Kita tidak dapat melihat kreativiti sebagai inspirasi dan kaedah penyelesaian kepada masalah ekonomi, rasuah, pekerjaan, keselamatan, politik, pendidikan dan lain-lain.

Kita menghadkan bakat dan pandangan kita. Kita belum pernah serius berbicara soal kreatif, mahupun sebelum hari ini. Tetapi kita tahu bahawa kita adalah bangsa yang kreatif. – 16 Oktober, 2018.

* Mahdzir Ibrahim ialah pengarah pendidikan politik DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen