Adakah Rafizi akan tersungkur di Sarawak?


Desmond Davidson

Menurut pemerhati politik, pemilihan di Sarawak pada 10 November boleh menguburkan cita-cita besar calon timbalan presiden Rafizi Ramli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2018.

SARAWAK akan jadi negeri terakhir dalam pemilihan PKR dan 53,000 ahli parti di negeri itu – termasuklah 12,000 ahli yang keahliannya dipersoal – boleh menguburkan cita-cita besar calon timbalan presiden Rafizi Ramli, menurut pemerhati politik dan sumber dalaman parti.

Pemilihan PKR di Sarawak dijadual berlangsung pada 10 November dan walaupun trend pengundian di negeri lain mungkin mengubah landskap kepimpinan parti, semua pemimpin utama parti Sarawak dilaporkan setia berada di belakang penyandang jawatan itu, Azmin Ali.

Perlumbaan untuk menjadi orang paling kanan bakal presiden Anwar Ibrahim adalah pertempuran parti paling mendapat perhatian tahun ini.

Memandangkan Rafizi kini mendahului apabila menang di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan manakala Azmin pula hanya menang di Pulau Pinang dan Johor.  

Semalam juga, pemilihan parti fasa satu bermula di Selangor melibatkan sembilan daripada 22 bahagian.

Walaupun Selangor dikatakan kubu kuat Azmin, Penolong Setiausaha Pemuda PKR Syed Badli Shah Syed Osman dilaporkan berkata semua 22 bahagian Selangor menyokong Rafizi.

Tetapi semalam, hasil pengundian sembilan bahagian terlibat memberikan 9,137 undi kepada Azmin berbanding 8,563 kepada Rafizi.

Pertempuran sengit ini dijangka bakal berubah apabila pemilihan di Sarawak bermula.

The Malaysian Insight difahamkan selain Ahli Parlimen Julau Larry Sng, Bahagian Julau yang diterajuinya serta seorang dua ahli Pemuda yang sudah meluahkan sokongan kepada Rafizi, Azmin masih menerima kesetiaan Ketua PKR Sarawak Baru Bian, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Negeri dan baki 28 bahagian PKR di negeri itu.

“Hanya Larry tak bersama Azmin. Baru Bian dan seluruh PKR Sarawak bersama Azmin,” kata sumber.

Pertempuran sengit antara Rafizi Ramli dan Azmin Ali dijangka bakal berubah apabila pemilihan di Sarawak bermula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Oktober, 2018.

Sng adalah bekas pembantu menteri Kabinet Barisan Nasional Abdul Taib Mahmud dan bekas presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang baru-baru ini jadi tumpuan media selepas pendaftaran beramai-ramai 12,000 ahli baharu PKR Bahagian Julau.

Peningkatan mendadak ahli dalam kawasan pedalaman majoriti Dayak yang terletak 306km dari Kuching ini serta merta menimbulkan tanda tanya dan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) kini dilaporkan sedang menyiasat perkara tersebut.

Sumber PKR memberitahu satu-satunya ahli lain yang ada reputasi dan menyokong Rafizi ialah Hafsah Harun, bekas penasihat parti dan bekas menteri negeri BN tetapi beliau tidak dianggap satu ancaman.

“Beliau sudah bersara dan bukanlah pemain utama,” kata sumber tentang Hafsah yang dipecat daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) oleh Taib kerana peranannya dalam skandal Mahkamah Ming 1987 – satu cubaan untuk menyingkirkan Taib sebagai ketua menteri oleh sekumpulan ahli politik Sarawak.

Hafsah dan Larry bukanlah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Sarawak.

Setiausaha Bahagian Mas Gading Francis Teron Kadap berkata kepimpinan negeri menyokong Azmin kerana “kematangannya dalam politik dan beliau sudah membuktikan kemampuannya untuk mentadbir” merujuk kepada tempoh khidmat Azmin sebagai menteri besar Selangor sebelum ini.

“Manakala Rafizi pula, tidak ada keraguan yang dia pemimpin yang hebat dan bijak tetapi dia seharusnya lebih bersabar mengetahui ada orang lain yang lebih senior daripadanya.

“Tambahan pula, dia masih belum membuktikan kemampuannya mentadbir, tak pernah mentadbir negeri pun,” kata Teron.

Wanita PKR Sarawak juga sudah meluahkan sokongan terbuka kepada pasukan Azmin iaitu Haniza Talha dan Dr Daroyah Alwi untuk jawatan ketua dan timbalan ketua wanita serta bekas ketua mereka Zuraida Kamaruddin yang bertanding merebut jawatan naib presiden.

Ketua Wanita Sarawak Nurhanim Mokhsen pada Ogos lalu sudah mengisytiharkan sokongan kepada Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi kerajaan persekutuan.

“Kami tak pernah meragui kemampuan dan komitmennya kepada parti dan prestasinya sebagai menteri besar Selangor sangat cemerlang,” katanya.

“Sudah tercatat dalam sejarah tentang perjuangan dan kesetiannya kepada Anwar Ibrahim selaku ketua dan pemimpin politiknya.” – 16 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen