Kembalinya Anwar ke gelanggang politik


Awang Azman Awang Pawi

Anwar Ibrahim membawa kemenangan besar kepada Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Port Dickson.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018

ANWAR Ibrahim melakukan sesuatu yang dianggap luar biasa dalam tradisi pilihan raya kecil (PRK) kerana membawa kemenangan besar kepada Pakatan Harapan di Port Dickson. PRK ini mencatat jumlah tertinggi pengundi turun mengundi, iaitu sebanyak 58.2 peratus. 

Sebelum ini PRK di Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong hanya mampu menarik pengundi di bawah 50 peratus, masing-masing 49.8 peratus, 44.1 peratus dan 43 peratus. 

Dari segi undi majoriti, Anwar berjaya mendapat sebanyak 71.3 peratus di Port Dickson. Calon Pas hanya mampu memperoleh 17.1 peratus diikuti oleh Mohd Isa Samad hanya mendapat 9.7 peratus sahaja. Semua calon bebas hilang wang pertaruhan.

Berbanding penyandang terdahulu Danyal Balagopal Abdullah yang memperolehi 17,710 undi majoriti meskipun jumlah turun mengundi sangat tinggi, iaitu sebanyak 82.8 peratus, Anwar berjaya meningkatkan undi majoriti dengan memperoleh 23,560 undi walaupun jumlah turun mengundi di PRK Port Dickson hanyalah sebanyak 58.2 peratus. 

Cabaran Anwar

Di tengah-tengah kerancakan kempen di Port Dickson, tiba-tiba Dr Mahathir Mohamad mengumumkan  bahawa lebuh raya tol percuma tak mungkin diwujudkan. Katanya, kalau tol dimansuhkan maka cukai bahan api akan dinaikkan untuk mendapat menampung kos tol. Dr Mahathir juga mengakui bahawa manifesto Pakatan disusun tanpa jangkaan akan menang pilihan raya. 

Dr Mahathir juga mengumumkan bahawa Kerajaan mungkin akan memperkenalkan cukai baharu untuk melunaskan hutang negara. Pengumuman yang mengejutkan itu tidak menghakis sokongan dan kepercayaan pengundi kepada Anwar.

Sesuai dengan era kerajaan baharu, kempen PRK kali ini kurang melibatkan politik wang, tidak ada janji atau pengumuman pembinaan sekolah, hospital baru, peruntukan masjid dan kuil dan tidak ada  penggunaan peruntukan kerajaan pusat atau negeri. Namun pengundi Port Dickson tetap memberikan sokongan padu kepada Anwar. 

Tidak timbul isu Anwar tidak mendapat lawan politik yang wajar. Isa yang bertanding calon bebas adalah juga mantan menteri besar selama 22 tahun, pernah menjadi Adun Linggi lima penggal dan Adun Bagan Pinang selama sepenggal – dua kawasan yang terletak di Port Dickson. Namun beliau tetap tidak berjaya menghalang kemaraan Anwar. 

Beliau juga yang sekian lama menjadi ketua Bahagian Umno Teluk Kemang di kawasan Port Dickson tidak pula memberikan impak sepertimana yang dijangka. Beberapa daerah mengundi dikuasai BN pada pilihan raya umum yang lepas berjaya ditembusi oleh Pakatan Harapan ketika ramai ahli BN memboikot PRK ini. 

Ramai juga pengundi Umno memilih PAS yang menyebabkan pertambahan undi parti Islam itu pada PRK ini. Undi Pas dibantu oleh undi tentera kerana calon merupakan bekas tentera dan ini memberikan sedikit kelebihan. 

Namun secara keseluruhan PAS gagal menarik lebih banyak undi Umno. Calon PAS dilihat bersih, ada integriti dan tiada skandal. Sebab itu daripada undi tentera PAS dapat undi kedua tertinggi. Ini menunjukkan faktor calon dan bukannya faktor parti.

Ternyata pola pengundian ini berorientasikan kepada politik personaliti dan bukannya berorientasikan kepada parti. Sekiranya berorientasi kepada parti sudah pasti jumlah turun mengundi kurang 50 peratus sebagaimana berlaku dalam tiga PRK lepas namun ini tidak berlaku di Port Dickson apabila politik personaliti Anwar mengambil tempat dan kedudukan dalam PRK ini.

Hal ini dapat dilihat apabila kempen Anwar lebih dikuasai oleh beliau sendiri  kerana Anwar percaya beliau mampu menarik undi sebanyak mungkin. Watak Anwar boleh menyampaikan ceramah di masjid, kuil dan tokong serta boleh menyanyi lagu Tamil di pentas kempen menyebabkan Anwar diterima oleh semua lapisan masyarakat. 

Kebanyakan wakil rakyat Pakatan Harapan yang datang berkempen merupakan muka baharu yang kurang dikenali oleh pengundi Port Dickson, apatah lagi majlis tertinggi parti seperti Bersatu dan Amanah. Maknanya, kempen dilakukan oleh Anwar sendiri tetap lebih berkesan.

Terdapat 7 fakta menarik mengenai kemenangan Anwar, iaitu berjaya menang kesemua 5 DUN, kesemua daerah mengundi, kesemua saluran mengundi, undi pos, di kawasan Melayu, Cina dan India.

Hapus Kritikan

Sebelum ini terdapat suara sumbang menyatakan Anwar tidak sesuai untuk kembali ke gelanggang politik. Zaman politiknya sudah berakhir, malah paling tragis apabila ada segelintir ahli parti sendiri menganggap Anwar sesuai untuk ‘dimuziumkan’ (direhatkan) menjadi tatapan sejarah.  

Yang lebih keras apabila terdapat dakwaan dalam kalangan beberapa pimpinan PKR  bahawa keputusan tersebut tidak dibincangkan melalui saluran yang betul. Naib presiden PKR, Tian Chua misalnya membidas Rafizi Ramli kononnya merancang pilihan raya kecil untuk Anwar secara rahsia.

Latheefa Koya pula mempersoalkan Anwar dengan mendakwa “Kenapa kamu membuat keputusan tanpa melalui mekanisme parti – tidak melalui biro politik mahupun jawatankuasa pusat”.Manakala Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin melalui Twitter pula menegur partinya agar tidak terburu-buru membuat keputusan dan menegaskan bahawa masa terbaik untuk mengadakan pilihan raya kecil adalah setelah selesai pemilihan PKR. 

Kemenangan Anwar dalam PRK ini berupaya membisukan tanggapan dan kritikan terhadap langkah beliau bertanding di Port Dickson. 

Kemenangan besar ini juga menunjukkan beliau masih relevan dalam politik negara. Seterusnya, kepimpinan beliau sebagai presiden PKR akan lebih tegas dan dinamik untuk memastikan hala tuju dan kepimpinan PKR menjadi lebih stabil.

Yang penting untuk memastikan tidak ada unsur-unsur berpuak-puak dalam parti yang boleh melemahkan kekuatan PKR sebagai parti kerajaan yang terbesar di negara ini. Anwar dijangka akan memberikan mesej yang jelas kepada mana-mana pihak dalam pimpinan parti bahawa beliau sudah kembali dan akan memastikan tidak sesiapapun dibenarkan mewujudkan kem.

Sebaliknya, hanya satu kem sahaja dalam PKR, iaitu kem Anwar. Sudah pasti, ini akan mempengaruhi pola pemilihan pimpinan PKR yang sedang berlangsung kini. – 14 Oktober, 2018

 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen