Mengapa LHDN hanya sasar keluarga Dr Mahathir, soal ahli Parlimen pembangkang


Muzliza Mustafa

Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri yang menyerbu pejabat tiga anak Dr Mahathir Mohamad termasuk Mokhzani. – Gambar Facebook, 10 Ogos, 2017.

AHLI Parlimen pembangkang hari ini mempersoalkan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dilihat mensasarkan anak-anak Dr Mahathir Mohamad melalui serbuan di syarikat mereka tetapi melepaskan keluarga bekas perdana menteri dan menteri Kabinet lain.

Persoalan disuarakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah ini susulan laporan yang menyatakan LHDN menyerbu pejabat Mokhzani, Mirzan dan Mukhriz beberapa hari lalu.

“Kenapa sekarang? Kenapa hanya keluarga Dr Mahathir?” Soal ahli Parlimen Amanah itu dalam satu kenyataan.

“Serbuan LHDN di pejabat Mokhzani menjadi topik hangat kerana ia kelihatan mencurigakan. Beliau sudah lama berkecimpung dalam perniagaan. Mengapa baru sekarang LHDN mahu memeriksa beliau?

“Betulkan ia hanya kebetulan adik beradik Mokhzani, Mukhriz dan Mirzan juga disiasat dan pejabat mereka diserbu?”

Raja Bahrin juga bertanya sama ada serbuan itu adalah tindak balas terhadap serangan tanpa henti Dr Mahathir terhadap pentadbiran tuduhan rasuah dan kleptokrasi terhadap Najib Razak.
 
Ahli Parlimen itu menggesa LHDN bersikap adil, dan menambah tidak ada siasatan diketahui terhadap mantan perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, menantunya Khairy Jamaluddin atau anak lelaki Abdullah, yang juga terlibat dalam perniagaan.

“Adakah ini kerana Khairy kini menteri Kabinet?

“Dan bagaimana pula dengan Reza Aziz, anak tiri Perdana Menteri Najib Razak yang namanya menjadi terkenal di peringkat antarabangsa atas dakwaan terlibat dengan Jho Low dalam skandal 1MDB.

“LHDN perlu menyiasat kesemua mereka untuk menunjukkan ia tidak mengamalkan pendakwaan selektif,” katanya.

Dilaporkan pada hari yang sama pejabat Kencana Capital Sdn Bhd milik Mokhzani diserbu, pejabat dua adik beradiknya juga menjadi sasaran.

Dilaporkan LHDN menyerbu Opcom Holdings Berhad dan Crescent Capital Sdn Bhd, di mana Mokhzani disenaraikan sebagai pengerusi dan ketua eksekutifnya. Mukhriz disebut sebagai pemegang saham utama syarikat.

Anak lelaki sulung Dr Mahathir, Mirzan disenaraikan sebagai ketua eksekutif Crescent Capital, sebuah syarikat pelaburan dan penasihat kewangan.

Para pemimpin Umno, termasuk naib presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Majlis Tertinggi Nazri Aziz, baru-baru ini menggesa agar kekayaan keluarga Dr Mahathir disiasat.

Dr Mahathir, sebelum ini mendakwa kawan-kawannya dan mereka yang mempunyai hubungan dengannya diganggu oleh kerajaan, termasuk melalui tindakan LHDN.

Seorang daripada rakannya adalah ahli perniagaan Lee Kim Yew, yang mendakwa sedang disiasat di bawah undang-undang jenayah dan bukannya undang-undang sivil. – 10 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen